KUALA SELANGOR: Sarawak menambah koleksi emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 selepas gandingan Muhamad Irfan Syazani Fazrullah dan Watziq Zulfiqrie Dahlan muncul juara acara beregu lelaki petanque di Arena Petanque Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini.
Gandingan Sarawak itu menewaskan pasangan Johor, Mohammad Afi Najmi dan Muhammad Aidil Akmal Yahya, dengan keputusan 12-7 dalam perlawanan akhir bagi merebut pingat emas.
Kejayaan itu melengkapkan perjalanan cemerlang Sarawak dalam acara berkenaan selepas terlebih dahulu menundukkan Kedah 13-11 pada pusingan robin.


PELUKAN KEMENANGAN…Muhamad Irfan Syazani Fazrullah dan Watziq Zulfiqrie Dahlan meraikan kejayaan meraih emas beregu lelaki petanque untuk Sarawak pada Sukma Selangor 2026.
Sarawak kemudian meneruskan rentak kemenangan pada peringkat separuh akhir dengan menewaskan Wilayah Persekutuan 11-4 untuk melangkah ke perlawanan akhir.
Dalam aksi penentuan emas, Muhamad Irfan Syazani dan Watziq Zulfiqrie tampil tenang serta konsisten sebelum mengesahkan kemenangan 12-7 ke atas Johor untuk menaiki podium tertinggi.
Kejayaan itu menyaksikan Sarawak mengharungi saingan beregu lelaki dengan rekod tanpa kalah, bermula dari pusingan robin hingga separuh akhir dan perlawanan akhir.
Pingat gangsa acara berkenaan menjadi milik Kedah dan Wilayah Persekutuan.
Oleh Shahrul Qaizat





