
TOKYO: Kerajaan Sarawak melangkah ke fasa baharu kerjasama dengan Jepun melalui penerokaan potensi dalam bidang teknologi hijau, pasaran karbon global, sains biodiversiti dan pembangunan modal insan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selepas tiga dekad hubungan erat antara Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS), sudah tiba masanya untuk kedua-dua pihak memperluas kerjasama ke arah penerokaan bidang baharu yang berimpak tinggi.
“Melangkah ke hadapan, saya yakin kerjasama ini berpotensi diperluas ke bidang baharu seperti pembangunan profesional dan kapasiti dalam pemantauan karbon, Light Detection and Ranging (LiDAR), Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta sains biodiversiti.
“Seterusnya penglibatan bersama dalam pasaran karbon antarabangsa yang selaras dengan Rangka Kerja Artikel 6.2, program pemerkasaan belia dan komuniti serta inisiatif pertukaran pelajar, penyelidik dan ahli akademik antara institusi Jepun dan universiti-universiti di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan 30 Tahun Jalinan Kerjasama antara JMA dan JHS di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Premier Sarawak menambah, jalinan kerjasama yang telah bermula sejak 1995 bukan sekadar tertumpu kepada pemulihan hutan malah melibatkan pembangunan komuniti dan pendidikan alam sekitar di seluruh negeri ini.
Jelasnya, Sarawak amat menghargai hubungannya dengan Jepun bukan sahaja dari segi perdagangan dan pelaburan, tetapi juga hubungan rakyat dengan rakyat, pertukaran budaya, pemindahan ilmu serta komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar.
“Dalam hal ini, JMA telah menjadi ‘jambatan’ penting yang menghubungkan rakyat Jepun dan Sarawak,” katanya.
Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Pengerusi JMA, Furuya Keiji, Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad serta rombongan lain.
-UKAS