
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak mengunjurkan lebihan bajet sebanyak RM144 juta bagi 2026 hasil kedudukan fiskal yang kukuh serta pendekatan pengurusan kewangan berhemat.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, lebihan itu dijangka dicapai menerusi hasil negeri berjumlah RM13.05 bilion berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM12.91 bilion.
“Perbelanjaan mengurus tersebut merangkumi RM5.6 bilion untuk perbelanjaan operasi dan RM7.3 bilion sebagai peruntukan kepada Akaun Dana Pembangunan bagi menampung perbelanjaan pembangunan negeri.
“Daripada RM5.6 bilion perbelanjaan operasi, sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan untuk emolumen, RM2.2 bilion bagi bekalan dan perkhidmatan, manakala RM1.8 bilion digunakan untuk geran, pembayaran tetap serta komitmen kebajikan termasuk pencen dan biasiswa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini.
Tambah beliau, RM99 juta disediakan untuk perolehan aset dan RM150 juta lagi bagi menampung perbelanjaan operasi lain.
“Lebihan bajet tersebut membolehkan kerajaan meneruskan pendekatan belanjawan mengembang bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur, transformasi digital serta agenda kemampanan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
“Bajet 2026 turut memperuntukkan RM9.3 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan yang disifatkan sebagai respons berhemah terhadap ketidaktentuan ekonomi global termasuk turun naik harga komoditi dan ketegangan geopolitik.
“Nilai sebenar bajet bukan terletak pada jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya pada impak yang mampu diberikan kepada rakyat dan pembangunan negeri,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah