TOKYO: Sarawak kini mengintai peluang kerjasama dalam pemindahan dan pertukaran teknologi bersama Jepun dalam industri e-metanol.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, e-metanol merupakan pemacu utama dalam usaha mengurangkan karbon dalam sektor yang memerlukan banyak tenaga.
Menurutnya, ini kerana e-metanol akan menjadi salah satu bahan api yang digunakan dalam mengurangkan perlepasan karbon.
“Di sini (Jepun) rumit, kerana mereka hendak mengeluarkan gas sintetik, kita di Sarawak memiliki gas asli, jadi kita tidak ada masalah kerana kita sudah ada bahan asas, apa yang kita perlukan adalah teknologi yang menggunakan gas sebagai bahan mentah untuk kita mengeluarkan produk-produk yang baharu.
“Jadi, masalah kita tidaklah serupa dengan Jepun tetapi kita boleh mengeluarkan hidrogen kepada Jepun. Bermakna Jepun akan melabur di Sarawak dan mempunyai kilang di Sarawak kerana beberapa proses sudah tidak diperlukan, bermakna kosnya akan menjadi rendah untuk Sarawak hasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS dan TVS selepas mengadakan lawatan ke Tokyo Gas Yokohama Techno Station di sini, hari ini.
Terdahulu, ketibaan Premier Sarawak disambut oleh Timbalan Presiden Tokyo Gas Kentaro Kimoto dan kemudiannya diberi taklimat mengenai pengeluaran hidrogen dan bahan api sintetik e-metanol sebelum melakukan lawatan di sekitar fasiliti tersebut.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, Sarawak amat bertuah kerana dianugerahkan dengan kekayaan sumber-sumber asli yang mampu menjadi alternatif penyelesaian tenaga bagi negara maju seperti Jepun.
“Jadi apa yang saya lihat sekarang ialah di Sarawak kita ada kelebihan kerana kita tidak mempunyai gas sintetik tetapi kita mempunyai gas asli yang ada di bumi kita iaitu metana.
“Hanya sekarang ini kita gunakan sumber metana untuk kita campurkan dengan karbon dioksida dan ia akan menjadi bahan mentah untuk produk yang berasaskan daripada gas ini,” katanya.
Mengiringi Premier Sarawak dalam lawatan itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak. – EDISI UKAS