KUCHING: Seramai 360 atlet tenpin boling akan berkampung di Megalanes Batu Kawa bermula Isnin depan hingga Ahad bagi berentap dalam kejohanan Sarawak Hornbill Team Cup 2023.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan ini melibatkan 36 pasukan.
“Sabah menghantar enam pasukan, MMBC Penang, MTBC National Youth, Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing menghantar dua pasukan serta Sarawak (22 pasukan).
“Kejohanan ini merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat generasi muda dalam sukan boling.
“Ia juga mampu mencari bakat baharu dan membesarkan asas atlet terutamanya dalam kalangan anak-anak sekolah di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena kejohanan Sarawak Hornbill Team Cup 2023 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini.
Katanya, kejohanan ini juga merupakan peluang terbaik untuk menyediakan atlet yang mewakili negeri masing-masing bagi berentap dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan berlangsung tahun depan.
“Kejohanan ini diyakini mempromosikan Sarawak sebagai hab sukan tenpin boling yang mana Megalanes Batu Kawa telah menonjol sebagai salah satu pusat latihan terbaik di Asia Tenggara,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS), Sunny Si Poh Heng, penganjuran kali ini merupakan platform untuk mencungkil bakat atlet bagi menghadapi SUKMA 2024.
“Kita akan bersedia bukan sahaja dari segi atlet dan pemain boling, tetapi turut bersedia dari segi organisasi yang akan bersama-sama menghadapi SUKMA 2024 kelak.
Dengan kekuatan yang ada, ABAS boleh menjadi penganjur yang terbaik di Sarawak,” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN