Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Sarawak himpun agensi kerajaan, industri, akademia pacu lonjakan sektor semikonduktor
  • TEKNOLOGI

Sarawak himpun agensi kerajaan, industri, akademia pacu lonjakan sektor semikonduktor

Utusan Sarawak 11 hours ago
LOGO Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD).

KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah sebagai pemain utama dalam industri teknologi tinggi apabila Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD) Semikonduktor akan menganjurkan sesi Sindikasi Semikonduktor Sarawak pada 21 Julai ini di Kuching, Sarawak.

Inisiatif strategik ini bakal menghimpunkan pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri, institusi pengajian tinggi, pusat latihan serta pemain industri dalam satu sesi libat urus yang bertujuan mempercepatkan transformasi Sarawak ke arah menjadi hab semikonduktor berteknologi tinggi di rantau Asia.

Sesi sindikasi ini merupakan lanjutan kepada pelancaran Kerangka Strategik Semikonduktor Sarawak dan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030: Beyond Moore’s Law yang telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 29 April 2025 di CSA Catapult, Wales.

Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), sesi ini bertujuan menterjemah visi strategik negeri kepada pelan tindakan konkrit yang boleh diukur dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat masa depan dan daya tahan ekonomi Sarawak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil sesi tersebut akan menampilkan pembentangan 10 langkah strategik bagi membangunkan ekosistem semikonduktor Sarawak yang menyeluruh menjelang 2030.

Beliau turut akan berkongsi potensi besar dalam bidang reka cipta, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembungkusan termaju yang diyakini mampu menjana pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Sarawak.

Antara sesi yang dinanti-nantikan adalah perkongsian daripada Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) mengenai Strategi Semikonduktor Negara (NSS) dan pembentangan oleh Ketua Pegawai Kewangan SMD, Shahril Anas, yang akan menyentuh aspek pembiayaan swasta dan modal teroka.

Turut hadir sebagai panel ialah Sean Redmond dari Silicon Catalyst UK serta wakil dari Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi UK (DSIT) yang akan berkongsi tentang landskap dan pengalaman UK dalam membina industri semikonduktor mereka.

“Pendekatan akar umbi ini telah lama menjadi prinsip SMD. Kami ingin memastikan bahawa setiap perancangan mencerminkan keperluan industri sebenar dan memberi manfaat langsung kepada rakyat Sarawak. Sesi sindikasi ini adalah titik tolak kepada pembentukan ‘Pusat Saraf Silikon Asia’ – dan ini bukan sekadar cita-cita, ianya sedang berlaku,” tegas Shariman.

Seramai 40 peserta utama daripada kementerian, agensi kerajaan, akademia dan sektor industri dijangka menyertai sesi tersebut. Hasil perbincangan dan syor strategik akan diserahkan secara rasmi kepada Premier Sarawak untuk memperkukuh pelaksanaan pelan induk semikonduktor sedia ada.

Sesi ini bukan sahaja platform pemantapan kerjasama rentas sektor, malah menjadi medan penting dalam membina masa depan ekonomi digital Sarawak yang mampan serta berpendapatan tinggi, selaras dengan aspirasi negeri menjelang 2030.

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Jelajah Komuniti Digital perluas akses teknologi di Belaga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.