KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap ‘status quo’ empat menteri dari Sarawak dikekalkan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan yang baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Anwar tidak akan melupakan GPS untuk mengekalkan kedududukan itu walaupun saiz Kabinet mungkin dikecilkan.
“Saya yakin Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar tidak akan melupakan kerajaan GPS walaupun kelak saiz anggota kabinet akan dikurangkan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan tarikh bengkel Pertandingan Kaligrafi Arab dan Cina Peringkat Kebangsaan 2022 serta Pameran Karya Kaligrafi Arab dan Cina di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, adalah menjadi tugas berat bagi mana-mana Perdana Menteri untuk menubuhkan Kabinet dan memuaskan hati semua parti.
“Tetapi saya percaya Perdana Menteri tidak akan melupakan aspirasi GPS dan kerajaan Sarawak,” katanya .
Anwar dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya lewat petang ini.
Sebelum Parlimen dibubar baru-baru ini, empat menteri dari Sarawak ialah Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang). Wan Junaidi tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Yang lain ialah Dato Sri Fadillah Yusof selaku Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Oleh NUR AIN OTSMAN