KUCHING: Sarawak berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibantu Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof akan dapat menyegerakan usaha mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata inilah detik paling sesuai untuk berbuat demikian kerana sejarah sudah tercatat apabila Fadillah menduduki jawatan TPM.
“Kami berharap dengan ada Kabinet baharu ini, PM dan TPM akan terus mengembalikan hak kami yang masih belum dikembalikan.
“Kita yakin di bawah kepemimpinan Kabinet baharu, perkara ini dapat disegerakan untuk Sarawak. Ini harapan kita,” katanya selepas merasmikan program Kesedaran Alam Sekitar di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Jaya, di sini, hari ini.
Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen terdahulu yang telah membantu memulihkan hak Sarawak di bawah MA63 dan IGC.
Katanya, pelantikan Fadillah dan empat lagi menteri dari Sarawak sudah semestinya akan menjaga kepentingan negeri.
“Pelantikan lima Ahli Parlimen sebagai menteri selain jawatan TPM adalah satu pengiktirafan kepada rakyat Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan jenteranya.
“Ini adalah era baharu apabila sejarah tercipta dengan pelantikan jawatan TPM adalah dari Sarawak,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan senarai 28 anggota Kabinet termasuk tujuh dari Borneo iaitu 5 menteri dari Sarawak dan dua dari Sabah.
Malah pelantikan Fadillah selaku TPM II selain sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi adalah sejarah baharu bagi Sarawak sejak penubuhan Malaysia 59 tahun lalu.
Sharifah Hasidah juga mengucapkan tahniah kepada Anwar dan lima menteri dari Sarawak atas pelantikan itu.
Oleh SHAHRUL QAIZAT