
SIBU: Pendermaan organ di Sarawak masih kekal rendah berikutan salah tanggapan budaya, cabaran logistik dan kekurangan kesedaran masyarakat.
Ketua Unit Perolehan Organ di Hospital Umum Sarawak, Dr Lydia Yet berkata, semua sumbangan organ melalui proses saringan yang ketat dan berdasarkan keserasian perubatan.
“Ramai orang menyangka kita hanya mengambil organ daripada seseorang dan memberikannya kepada orang lain.
“Di negara ini (Malaysia), perolehan organ hanya dilakukan dengan penderma yang telah disahkan mati otak. Anda tidak boleh datang ke hospital dan berkata, ‘Saya mahu menderma organ saya kepada orang tertentu untuk wang,’ itu tidak dibenarkan,” jelasnya semasa berucap pada program Larian Amal dan Kempen Kesedaran Derma Organ 2025 anjuran Jabatan Anestesiologi, Hospital Sibu (Pasukan TOP) di Taman Tasik Permai, hari ini.
Beliau menggalakkan orang ramai yang ingin berikrar sebagai penderma organ untuk berbuat demikian melalui aplikasi MySejahtera.
“Tetapi yang paling penting, sila maklumkan kepada ahli keluarga anda tentang keputusan anda. Apabila seseorang meninggal dunia dan orang tersayang tidak menyedari kehendak mereka, ia menimbulkan kekeliruan dan rasa bersalah yang sering membawa kepada penolakan,” katanya.
Selain itu, katanya, kesukaran logistik terus menjadi cabaran, dimana organ yang diambil di Sarawak mesti dibawa ke Semenanjung Malaysia untuk pemindahan.
“Buat masa ini, pemindahan buah pinggang dan hati dilakukan di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.
“Pemindahan jantung dan paru-paru, yang memerlukan pemindahan lebih cepat, tidak dapat dijalankan dari Sarawak kerana kekangan masa.
“Buat masa ini, kami hanya mampu untuk memudahkan pendermaan buah pinggang dan hati. Ujian keserasian juga mesti dijalankan di makmal yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan ini menambahkan kerumitan,” jelasnya lagi.
Beliau turut mengiktiraf sokongan syarikat penerbangan komersial dalam membolehkan proses membawa organ.
“Sebelum ini, kami menghadapi kesukaran untuk membawa organ dalam penerbangan kerana protokol keselamatan. Tetapi selepas perbincangan dengan AirAsia, Malaysia Airlines, dan Lapangan Terbang Kuching, isu ini sebahagian besarnya telah diselesaikan,” katanya.
Dr Yet turut melahirkan kebimbangannya terhadap kepercayaan tradisional, dimana terdapat sesetengah keluarga berpendapat bahawa penderma yang menderma mata, roh mereka (penderma) tidak akan dapat melihat di akhirat.
“Kita perlu mengubah pemikiran ini, apabila kita mati, badan kita kembali kepada bumi. Organ kita boleh memberi orang lain peluang untuk hidup,” kata beliau lagi.
Beliau turut memberitahu, Sarawak telah menyaksikan kes pendermaan organ sejak sedekad yang lalu.
“Sebelum kes pendermaan terbaharu berlaku di Miri baru-baru ini, pendermaan organ terakhir yang berjaya di Sarawak adalah pada 2015.
“Pada 2022, terdapat satu kes di Sibu, dan tahun lepas kami mempunyai dua kes di Hospital Umum Sarawak,” kata beliau.
Program tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek.
Turut hadir ialah Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukarasu dan Ketua Jabatan Anestesiologi & Rawatan Rapi Hospital Sibu, Dr Terence Siew Kung Yung.