KUCHING: Sarawak Fruit Enterprise adalah antara syarikat yang bernai mengambil langkah untuk mempelbagaikan eksport makanan melalui pembangunan produk berasaskan tanaman asli dan nadir yang belum diterokai sepenuhnya demi memastikan kelestarian pertanian.
Buah dabai atau nama saintifiknya Canarium odontophyllum adalah antara spesies buah nadir bermusim yang telah diberi keutamaan untuk dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak yang kini divariasikan pengeluarannya oleh Sarawak Fruit Enterprise.
Pengurus Sarawak Fruit Enterprise, Chuo Nang Ling ketika ditemu bual pemberita Utusan Sarawak berkata, idea untuk membuat dan mengeluarkan keropok dabai atau makanan berasaskan dabai, ditampilkan oleh salah seorang pegawai dari Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Kuching.
“Buah pertama yang kami variasikan ialah durian dengan menjadikan ‘raja buah’ ini dalam bentuk pes dan durian juga disejukbekukan.
“Tapi sekarang kami memilih dabai kerana dabai mempunyai identity produk dari Sarawak. Tambahan pula, dabai lebih diterima masyarakat kita di sini.
“Kalau durian itu terlalu biasa, tapi kami masih menjualnya atas sebab adanya permintaan,” katanya pada Minggu Reka Bentuk Sarawak (SDW) 2023 yang kini berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Sehubungan itu, Chou berkata setakat ini, penjualan produk masih menggunakan sistem agen.
“Kalau di Sibu kami hanya ada kilang sahaja, namun, kami juga ada menjual di kedai dan pengguna boleh mendapatkannya terus daripada kedai,” katanya.
Ditanya mengenai pembekal, Chuo berkata, kebanyakkan bekalan dabai diperoleh dari Ulu Kanowit.
Tambah Chuo, untuk langkah seterusnya, Sarawak Fruit Enterprise akan mengeluarkan produk berasaskan cempedak.
“Bekalan cempedak sudah ada dan kami akan mengeluarkan produk berasaskan cempedak iaitu keropok cempedak sepertimana kami menghasilkan keropok dabai daripada buahnya.
“Secara tidak langsung kami akan mengeluarkan banyak pilihan untuk keropok berasaskan buah,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN