
BINTULU: Golongan pendidik di Sarawak dicabar untuk menghasilkan kertas kerja yang holistik dan menyeluruh bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar serta tenaga pengajar, selaras dengan aspirasi pendidikan negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, sudah tiba masanya pendekatan baharu yang lebih berkesan dilaksanakan dan bukannya terus mempertikai keperluan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan.
Menurutnya, hanya satu kertas kerja diterima sejak beliau mengumumkan insentif khas kepada guru yang mampu mencadangkan pelan tindakan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di Sarawak.
“Topik ini mudah, tetapi saya mahu satu pendekatan yang menyeluruh dan komprehensif.
“Saya sudah terima satu kertas kerja sejak ganjaran diumumkan tahun lalu, namun ia terlalu asas.
“Ia hanya menyentuh isu tiada papan putih dan nama program, itu bukan yang saya harapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2025 bertempat di sebuah hotel di sini, hari ini.
Simposium yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat menghimpunkan sebanyak 200 guru Bahasa Inggeris dari lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) zon utara.
Menurut beliau, kertas kerja yang dihasilkan seharusnya merangkumi perancangan program yang berupaya meningkatkan kemahiran pengajaran guru serta tahap penguasaan pelajar secara serentak.
“Saya mahu anda tampil dengan satu program bagaimana untuk meningkatkan penguasaan (bahasa Inggeris) dalam kalangan guru dan pelajar. Itulah yang kami perlukan.
“Sebagai pembuat dasar, kami mengharapkan maklum balas dan cadangan daripada pihak guru sendiri.
“Kami tidak mahu arahan dari atas dan kami tidak mahu memberi arahan secara sepihak, sebaliknya kami ingin mendengar apa yang sebenarnya diperlukan oleh guru-guru di lapangan,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa mana-mana cadangan yang terbukti berkesan dan praktikal akan dipertimbangkan serta disokong pelaksanaannya oleh kementerian.
Oleh Carolyne Utih