KUCHING: Sarawak menunjukkan kesediaannya untuk menganjurkan temasya sukan lebih besar selepas berjaya mengendalikan Sukan Malaysia (SUKMA) Ogos lepas dan Para SUKMA 2024 yang menutup tirai malam tadi.
Kejayaan itu menerima pujian pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Sarawak tidak mahu menunggu lama untuk memulakan persiapan bagi penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (APG) 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA dan Para SUKMA Sarawak, Datuk Hii Chang Kee berkata SUKMA dan Para SUKMA menjadi platform terbaik untuk Sekretariat dan Jawatankuasa Induk menilai tahap kesediaan dan meraih pengalaman berharga, bagi penganjuran acara sukan yang lebih besar.
“Kami akan menjalankan pascanilai untuk mengenal pasti sebarang isu yang timbul semasa SUKMA dan Para SUKMA, dan akan mengambil tindakan segera sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA dan APG.
“Berdasarkan mesyuarat CDM (Ketua Kontinjen) yang terakhir semalam, kami menerima maklum balas yang sangat positif. Kerajaan Sarawak, dengan kerjasama semua kontinjen, sangat berpuas hati dengan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA kali ini,” katanya kepada Bernama.
Hii, yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) berkata acara yang bakal dianjurkan oleh Sarawak, Kuala Lumpur atau Pulau Pinang untuk Sukan SEA dan APG 2027, belum diputuskan secara spesifik.
Para SUKMA yang berakhir semalam menyaksikan 22 rekod kebangsaan dan 71 rekod temasya berjaya dileburkan.
Lebih 1,200 atlet dari 15 negeri beraksi dalam 10 jenis sukan untuk memburu 327 pingat emas.
Sarawak kembali merampas gelaran kejuaraan dengan meraih 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa, manakala juara bertahan, Sabah berpuas hati di tempat kedua dengan 62 emas, 42 perak, dan 32 gangsa, diikuti Johor di kedudukan ketiga dengan 33 emas, 35 perak dan 29 gangsa.
Hii berkata selain menyediakan infrastruktur dan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), pihak penganjur juga menyediakan kaunselor untuk membantu atlet dari segi emosi sepanjang temasya berlangsung.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr K. Nagulendran melihat pencapaian 22 rekod kebangsaan dalam sukan renang, powerlifting dan memanah sebagai petanda positif untuk masa depan sukan para negara.
Nagulendran berkata pihaknya sememangnya amat teruja melihat barisan atlet menyerlah dengan catatan rekod kebangsaan masing-masing, terutamanya dilakar oleh atlet muda yang mampu mengambil alih tempat senior mereka di pentas tertinggi kelak.
Walaupun persembahan atlet wanita amat memberangsangkan di Bumi Kenyalang, namun beliau berharap kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan terus memperkasakan pembangunan sukan golongan itu sekali gus memastikan negara tidak ketandusan bakat.
Nagulendran pada masa sama, optimis Sarawak mampu menjadi hos bersama APG 2027 selepas berpuas hati dengan kemudahan disediakan negeri tersebut sepanjang Para SUKMA 2024.
“Dengan sedikit lagi penambahbaikan di fasiliti terlibat, saya rasa Sarawak bersedia jadi penganjur bersama Sukan SEA dan APG 2027,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan meneliti pandangan Jawatankuasa Induk sebelum memutuskan had umur penyertaan atlet di Para SUKMA.– BERNAMA