
KUCHING: Sarawak kini berada pada landasan penting pembangunan negeri melalui agenda transformasi sosial, pendidikan percuma, autonomi kesihatan dan pembangunan bakat, menurut Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika ditemui media sempena Persidangan MIID REKA Sarawak 2025.
Beliau menghargai usaha Institut Pereka Dalaman Malaysia (MIID) menjadikan Sarawak tuan rumah edisi pertama persidangan itu, sambil menekankan reka bentuk dalaman bukan sekadar estetika, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan fasiliti kesihatan.
Dr. Sim berkata dasar reka bentuk berorientasikan gambaran besar di bawah kepimpinan Premier Sarawak selaras dengan matlamat pembangunan negeri untuk pertumbuhan pesat serta kelestarian generasi akan datang.
“Pembangunan sedang kita capai, tetapi kita mesti menyediakan asas kelestarian agar generasi seterusnya dapat meneruskannya,” katanya.
Beliau menegaskan pembangunan harus inklusif tanpa mengira latar kaum, agama atau lokasi.
Beliau juga menekankan pendidikan percuma sebagai tonggak pembinaan bakat dan mobiliti sosial, membolehkan rakyat Sarawak keluar daripada kemiskinan serta merombak struktur sosial secara menyeluruh.
Peluang pendidikan sama rata dijangka melahirkan tenaga kerja berpendidikan tinggi dengan pendapatan lebih baik, sekali gus mengukuhkan ekonomi negeri.
Beliau yakin menjelang 2030, Sarawak akan mencapai tahap kematangan pembangunan dengan infrastruktur lengkap, bakat tempatan mantap dan ekonomi stabil, sekali gus menjadi rujukan bagi seluruh Malaysia. Transformasi sosial dan pembangunan bersepadu yang digerakkan diyakini melonjakkan Sarawak ke era baharu kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Oleh Norman B