
LIMBANG: Sarawak terus komited dalam usaha memperkasa pembangunan belia melalui acara sukan di semua peringkat seluruh wilayah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, bagi mencapai tujuan tersebut, prasarana sukan harus dinaik taraf, penyertaan belia dalam program kesukarelawanan diperluaskan, serta peluang diberikan kepada belia untuk memimpin dan melaksanakan aktiviti di peringkat komuniti.
“Saya menggesa agar setiap agensi kerajaan, pertubuhan belia, dan masyarakat tempatan terus berganding bahu menjayakan agenda ini kerana masa depan belia adalah masa depan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) Cawangan Bukit Kota 2025 di Stadium Tertutup Limbang hari ini.
Menurut Paulus, sukan mempunyai kekuatan unik yang dapat menyatukan komuniti tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama.
“Apabila kita turun ke gelanggang, yang kita bawa bukanlah nama individu, tetapi semangat kesukanan yang tinggi. Saya percaya acara seperti ini akan terus menjadi contoh kepada daerah-daerah lain dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati selama ini,” jelasnya.
Katanya, Pasukan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) telah lama menjadi organisasi yang sinonim dengan pembangunan belia di Sarawak.
“Peranan SABERKAS bukan sahaja dalam penganjuran aktiviti sosial dan kemasyarakatan, tetapi juga sebagai platform untuk melahirkan pemimpin belia yang berdaya tahan, berwawasan, dan berintegriti.
“Saya berharap lebih ramai belia di kawasan Bukit Kota terus aktif dalam SABERKAS kerana inilah wadah terbaik untuk membentuk jati diri dan menimba pengalaman kepimpinan dalam suasana berpasukan,” katanya.
Karnival kali ini turut menampilkan beberapa acara sukan menarik yang menjadi kegemaran masyarakat tempatan, antaranya bola tampar, petanque, badminton dan futsal.
Oleh Adeng Edrus