
LUNDU (Sarawak): Sarawak menekankan kepentingan pembangunan rantaian bekalan yang lengkap dalam sektor pertanian bagi memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan secara berkesan dan mengurangkan pembaziran.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata pendekatan bersepadu dari peringkat huluan hingga hiliran ini adalah kunci kepada kesinambungan dan kejayaan sektor pertanian negeri.
“Kita tidak boleh terus mengamalkan cara lama. Kita perlu memastikan terdapat kilang, pasaran dan pemprosesan hiliran bagi menyokong setiap tanaman yang diusahakan, barulah sektor ini boleh bertahan,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek penanaman padi Hibrid GS30 di Tanjung Purun, di sini hari ini.
Beliau berkata antara contoh kaedah baharu untuk mempelbagaikan tanaman di Sarawak ialah penggunaan benih padi hibrid GS30 dari Wuhan, China yang sedang diuji di Tanjung Purun.
“Benih ini mampu menghasilkan 12 hingga 14 metrik tan sehektar, berbanding hasil konvensional sekitar enam hingga tujuh metrik tan sehektar.
“Projek rintis yang dilaksanakan syarikat Baja Engineering Sdn Bhd melibatkan kawasan seluas 187 hektar ini menunjukkan potensi tinggi, namun kejayaannya bergantung kepada kecekapan sistem saliran, pembentukan struktur tanah seperti hardpan serta mekanisasi lengkap yang merangkumi pembajakan, penanaman, pembajaan, penyemburan racun dan penuaian,” katanya.
Dr Rundi berkata setakat ini, Sarawak hanya mencatat tahap sara diri (SSL) beras sekitar 32 peratus dengan pengeluaran 180,000 metrik tan setahun, sedangkan keperluan sebenar negeri ini mencecah 450,000 metrik tan.
Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Baja Engineering Sdn Bhd Juraimi Abdillah ketika berucap dalam majlis itu berkata nama asal benih hibrid tersebut adalah Liangyou 289 yang dibangunkan oleh Hubei Ceres Technology di China.
“Bagaimanapun nama rasmi benih ini nanti akan dimuktamadkan semula selepas mendapat kelulusan daripada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.– Bernama