
KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi mendapatkan penentuan berhubung kesahan perlembagaan dan keberterusan pemakaian beberapa undang-undang petroleum persekutuan ke atas negeri ini.
Menurut kenyataan media Pejabat Premier Sarawak, tindakan itu melibatkan Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 yang didakwa menjejaskan serta melucutkan hak Sarawak terhadap sumber asli termasuk minyak dan gas yang terdapat di dasar laut Pelantar Benua dalam sempadan negeri.
Menurut kenyataan tersebut, sempadan berkenaan adalah seperti yang diperluas dan ditakrifkan di bawah Sarawak Perintah dalam Majlis (Pindaan Sempadan) 1954 dan Perintah dalam Majlis Sarawak (Takrif Sempadan) 1958.
Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta instrumen perlembagaan yang dilampirkan bersamanya, hak kedaulatan terhadap sumber petroleum di dasar laut dalam sempadan Sarawak telah diletakkan kepada negeri ini pada Hari Malaysia oleh Kerajaan British, dan bukannya kepada Persekutuan.
Kenyataan itu turut merujuk kepada Perkara 2(c), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan kuasa perundangan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengawal selia pelaksanaan hak petroleum tersebut melalui pengeluaran pajakan perlombongan, sijil dan lesen carigali.
Menurut penjelasan lanjut, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 pada asalnya hanya terpakai kepada negeri-negeri di Tanah Melayu, sebelum diperluas ke Sarawak melalui Ordinan yang diluluskan selepas Proklamasi Darurat 1969.
Bagaimanapun, darurat tersebut telah dibatalkan oleh kedua-dua Dewan Parlimen pada Disember 2011 dan menjelang Jun 2012, kedua-dua undang-undang berkenaan sepatutnya tidak lagi terpakai di Sarawak selaras dengan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada 10 Januari 2026 telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar kesahan beberapa undang-undang negeri yang mengawal selia operasi, perniagaan dan aktiviti petroleum syarikat itu di Sarawak. Permohonan tersebut dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2026.
Kerajaan Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya akan membantah permohonan berkenaan kerana ia tidak termasuk dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak turut memohon penentuan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(3) dan 128(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesahan akta-akta persekutuan tersebut setakat mana pemakaiannya ke atas Sarawak.
Menurut kenyataan itu lagi, akta-akta persekutuan berkenaan memberi kesan terhadap sempadan Sarawak yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia serta hak negeri terhadap sumber petroleum yang terdapat di kawasan luar pesisir dalam sempadan negeri. Justeru, Sarawak berhak mengambil langkah bagi melindungi kepentingan dan hak sah negeri serta rakyatnya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Penentuan isu-isu perlembagaan ini juga dijangka memberi kejelasan terhadap rangka kerja kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak, khususnya kepada pelabur dalam sektor huluan dan hiliran industri tersebut.
Walau bagaimanapun, kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya untuk meneruskan perbincangan secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian secara baik demi memperkukuh perpaduan nasional, mempromosi penggunaan sumber minyak dan gas secara mampan serta membolehkan Sarawak terus menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.