Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak enggan eksport nadir bumi, mahu bangunkan industri teknologi tinggi
  • SEMASA

Sarawak enggan eksport nadir bumi, mahu bangunkan industri teknologi tinggi

Utusan Sarawak 2 days ago
JELASKAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap ketika Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di Sematan, hari ini.

SEMATAN: Sarawak tidak bercadang untuk mengeksport unsur nadir bumi (REE) secara mentah, sebaliknya mahu memanfaatkan bahan strategik itu bagi membangunkan industri berasaskan teknologi tinggi di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, unsur nadir bumi yang mengandungi tujuh logam bernilai tinggi merupakan sumber strategik penting yang perlu diuruskan secara berhemah agar manfaatnya dapat dinikmati secara lestari dan jangka panjang.

“Dalam unsur nadir bumi ini ada tujuh elemen logam yang sangat strategik untuk kita wujudkan bahan-bahan lain. Sebab itu, kita tidak mahu sekadar eksport mentah seperti dilakukan di negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di Sematan, di sini, hari ini.

SEMPURNAKAN…Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain menyempurnakan gimik perasmian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di Sematan, hari ini.

Abang Johari menegaskan, pendekatan itu sejajar dengan dasar kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi kitaran serta menambah nilai kepada sumber asli Sarawak melalui inovasi dan penyelidikan.

“Kita mahu hasil bumi kita diproses di sini agar peluang pekerjaan, teknologi dan nilai tambah kekal di Sarawak. Ini selaras dengan dasar ekonomi hijau di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030),” ujarnya.

Beliau menjelaskan, bahan nadir bumi berpotensi digunakan dalam penghasilan komponen semikonduktor, bateri serta teknologi tenaga hijau yang kini menjadi tumpuan global.

Langkah Sarawak mengekalkan kawalan terhadap sumber tersebut, katanya, juga menepati semangat autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memandangkan negeri kini mempunyai kuasa penuh dalam pengurusan sumber alam sekitar dan mineralnya sendiri.

“Sumber ini amat bernilai, jadi kita mesti urus dengan bijak. Kita tidak mahu hanya menjual unsur ini, tetapi menghasilkan teknologi daripada khazanah bumi kita sendiri,” ujarnya.

Pendekatan Sarawak itu turut selari dengan perkembangan di peringkat serantau apabila ASEAN kini sedang meneroka kerjasama kolektif berhubung pembangunan industri nadir bumi.

SAKSIKAN…Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan DNS Waste Management Sdn. Bhd., 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata negara anggota ASEAN sedang meneliti kaedah untuk memanfaatkan sumber nadir bumi secara bersama melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan teknologi.

“Buat masa ini, kita baru sahaja mencapai persefahaman mengenai cara kita dapat bekerjasama pada masa depan berkaitan REE, bagaimana teknologi dapat melengkapi industri kita,” katanya selepas mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata AECC turut mengeluarkan Deklarasi Visi Pembangunan Mineral ASEAN yang menggariskan matlamat menjadikan rantau ini sebagai destinasi utama pelaburan mineral penting melalui kemajuan teknologi, tadbir urus yang baik dan amalan mampan.

Tambah beliau, dengan pengurusan lestari serta pendekatan berasaskan sains dan inovasi, Sarawak mampu muncul sebagai peneraju ekonomi hijau dan hab teknologi sumber mineral di rantau ini menjelang 2030.

Majlis HASN 2025 turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan DNS Waste Management Sdn. Bhd., mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pengurusan sisa lestari.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Swinburne Sarawak bakal buka kampus penyelidikan baharu — Premier Sarawak
Next: MPS dinobat Perintis Bandar Pintar, perkukuh kelestarian di Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.