KUCHING: Sarawak Energy akan menjalankan ujian dan penyelenggaraan berjadual Sistem Amaran Banjir (FWS) di Loji Hidroelektrik Batang Ai, esok.
Ujian berkenaan akan dilaksanakan dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang sebagai persediaan bagi latihan kesiapsiagaan kecemasan loji yang akan datang.
Menurut kenyataan Sarawak Energy, sepanjang tempoh berkenaan, siren amaran banjir akan dibunyikan beberapa kali dengan setiap pengaktifan dijangka berlangsung kira-kira satu hingga dua minit.

Bagaimanapun, masa dan bilangan pengaktifan siren mungkin berbeza bergantung kepada kemajuan kerja pengujian yang dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan supaya tidak cemas sekiranya terdengar bunyi siren sepanjang tempoh ujian tersebut.
Pengaktifan siren itu merupakan sebahagian daripada latihan kesiapsiagaan kecemasan yang dirancang bagi memastikan sistem amaran banjir serta peralatannya berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.
Ujian dan penyelenggaraan berkala sistem berkenaan turut menjadi sebahagian daripada langkah keselamatan empangan serta kesiapsiagaan kecemasan yang dilaksanakan secara berterusan oleh Sarawak Energy.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy yang beroperasi 24 jam di talian 1-300-88-3111 atau merujuk saluran rasmi syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini.





