- Asian Power Awards 2024
KUCHING: Sarawak Energy mencipta kejayaan gemilang di Asian Power Awards 2024 apabila berjaya membawa pulang lima anugerah utama, sekali gus memperlihatkan komitmen syarikat tersebut dalam pembangunan tenaga hidro lestari dan pendigitalan sektor penjanaan tenaga di Malaysia.
Menurut SEB dalam kenyataan, anugerah berprestij itu diterima melalui anak syarikatnya, SEB Power Sdn Bhd dan Syarikat SESCO Bhd, dalam majlis yang diadakan di Conrad Centennial, Singapura, 22 Oktober lalu.
Katanya, antara anugerah yang dimenangi adalah dalam kategori Utiliti Tenaga Terbaik, Teknologi Tenaga Inovatif Terbaik, Naik Taraf Loji Janakuasa Terbaik, Projek Grid Pintar Terbaik, serta Projek Hidro Tenaga Terbaik (gangsa).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sharbini Suhaili mengetuai delegasi Sarawak Energy pada majlis itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Lau Kim Swee, dan beberapa pengurus kanan dari loji tenaga milik Sarawak Energy.
Dalam kenyataan sama, Sharbini menyatakan bahawa anugerah tersebut menjadi bukti terhadap dedikasi Sarawak Energy dalam mencapai visi pertumbuhan mampan bagi memenuhi keperluan tenaga yang boleh dipercayai dan mesra alam.
“Pengiktirafan ini mencerminkan tekad kami untuk menjadi peneraju tenaga lestari serantau, menyumbang ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya dalam kenyataan.
Transformasi Sarawak Energy adalah seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030, yang memfokuskan kepada pembangunan tenaga hidro lestari, pendigitalan dan inovasi.
Dalam pada itu, Sarawak Energy turut menyarakab bahawa inisiatif digitalisasi yang dilakukan, termasuk projek grid pintar (smart grid) telah meningkatkan kecekapan operasi serta menurunkan kos dan meningkatkan kebolehpercayaan tenaga.
“Ini disokong oleh Pusat Pemantauan dan Diagnostik Jauh (RMAD), yang memanfaatkan analisis masa nyata bagi mengoptimumkan prestasi loji.
“Dalam usaha untuk menyokong pembangunan ekonomi rendah karbon, Sarawak Energy turut menekankan pemanfaatan sumber hidro yang melimpah di negeri ini, yang kini menyumbang lebih 60 peratus daripada penjanaan elektrik di Sarawak.
“Loji Hidroelektrik Murum dengan kapasiti 944 megawatt telah memainkan peranan penting, termasuk dalam perdagangan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) di Bursa Karbon sejak Jun 2024, untuk membantu organisasi mencapai sasaran kelestarian masing-masing,” jelasnya.
Untuk makluman, Asian Power Awards tahun ini, yang bertemakan inovasi dan kelestarian, menjadi platform pengiktirafan kepada projek tenaga yang responsif terhadap isu perubahan iklim dan permintaan tenaga yang meningkat.
Turut menerima penghargaan ialah PT PLN Indonesia Power dan PETRONAS yang diiktiraf dalam pelbagai kategori.