Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak Energy ingatkan orang ramai urus akaun elektrik dengan berhemah
  • TEMPATAN

Sarawak Energy ingatkan orang ramai urus akaun elektrik dengan berhemah

Utusan Sarawak 5 hours ago
APLIKASI ‘SEB Cares’ memudahkan pengguna mengurus akaun elektrik, membuat pembayaran dan memantau rekod penggunaan melalui kemas kini terbaharu yang kini boleh dimuat turun di aplikasi Google Play dan App Store.

KUCHING: Sarawak Energy mengingatkan pemilik hartanah, penyewa dan bakal pembeli agar lebih berwaspada dalam mengurus akaun elektrik masing-masing sebagai langkah memastikan tanggungjawab berkaitan utiliti dipatuhi serta mengelakkan pertikaian pada masa depan.

Menurut syarikat itu, pemilik hartanah yang menyewakan premis digalakkan memastikan semua akaun elektrik diurus dengan teratur dan maklumat pemegang akaun sentiasa dikemas kini.

Penyediaan perjanjian sewa yang jelas, sebaiknya dengan khidmat nasihat profesional perundangan, dapat mengelakkan salah faham serta memastikan pematuhan terhadap peraturan berkaitan.

Sarawak Energy turut mengesyorkan agar penyewa mendaftarkan akaun elektrik atas nama mereka sendiri bagi memastikan tanggungjawab penggunaan elektrik lebih jelas sekali gus mengurangkan risiko pertikaian atau liabiliti pada kemudian hari.

Bagi memudahkan pemantauan, pemilik hartanah boleh mendaftarkan nombor akaun dan nama penuh penyewa melalui aplikasi mudah alih ‘SEB Cares’ untuk mengikuti status pembayaran serta baki tertunggak dengan lebih mudah.

Pemantauan berkala terhadap penggunaan elektrik dan bacaan meter juga penting bagi mengesan sebarang ketidakselarasan awal, sekali gus memastikan perkhidmatan tidak terganggu dan bil tetap tepat.

Dalam pada itu, bakal pembeli atau pembida hartanah dinasihatkan meneliti dokumen Perisytiharan Jualan dan Syarat-Syarat Jualan sebelum menyertai lelongan hartanah. 

Dokumen tersebut mengandungi maklumat penting mengenai sebarang liabiliti sedia ada termasuk bil elektrik tertunggak atau caj utiliti lain.

Pemeriksaan fizikal ke atas hartanah serta pengesahan status akaun elektrik disifatkan penting untuk memastikan proses pembelian berjalan lancar dan telus.

Sarawak Energy menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses berkaitan bekalan elektrik dilaksanakan secara adil dan telus. 

Untuk pertanyaan atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com atau membuat laporan melalui aplikasi SEB cares serta portal dalam talian.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sarawak menolak dakwaan Bruno Manser Fonds isu pembalakan
Next: SUHAKAM adakan lawatan berkala ke Penjara Pusat Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.