
KUALA LUMPUR: Sarawak Energy Berhad (SEB) terus giat memperkasakan komuniti luar bandar apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama DHL Express Malaysia dan Brunei bagi melaksanakan Program Pemerkasaan dan Keusahawanan Artisan, khusus untuk artisan dari komuniti Bakun dan Murum di Sarawak.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan pada 23 Mei 2025 yang lalu, di Ibu Pejabat DHL Express Malaysia, yang menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power, Ir Bunyak Lunyong menandatangani bagi pihak SEB manakala Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo mewakili DHL Express.
Majlis turut disaksikan oleh Naib Presiden Kanan SEB, George Chapman, Pengurus Besar Pengurusan Impak Sosial SEB, Jiwari Abdullah dan Pengarah Urusan DHL eCommerce Malaysia, Saurabh Kumar.
Kerjasama strategik itu bertujuan memperkukuh kemahiran digital serta memperluas capaian pasaran bagi para artisan luar bandar, menerusi penggunaan platform TikTok Shop yang disokong oleh jaringan logistik global DHL.
Menurut Ir Bunyak, usaha itu adalah sebahagian daripada pelaburan sosial SEB dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar selaras dengan tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.
“Melalui gabungan kepakaran logistik DHL Express dan jangkauan platform digital seperti TikTok Shop, para artisan akan menikmati manfaat dalam bentuk latihan, pembangunan kapasiti, pendedahan pasaran yang lebih luas serta peningkatan dalam keupayaan keusahawanan mereka.
“Sebagai permulaan, seramai 20 artisan dari komuniti Bakun dan Murum akan mengikuti latihan intensif selama seminggu bersama pasukan dari DHL dan TikTok Shop yang merangkumi modul e-dagang, pengurusan rantaian bekalan, penciptaan kandungan serta strategi pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, Julian menyatakan bahawa kerjasama itu dapat membuka peluang kepada para artisan untuk berkembang ke peringkat antarabangsa sekali gus mengekalkan warisan budaya masyarakat asal.
“Kami yakin inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, malah turut menyumbang kepada pemeliharaan seni dan budaya komuniti luar bandar,” ujarnya.
Program ini merupakan lanjutan kepada Program Pembangunan Kraf Tangan yang telah dilancarkan oleh SEB pada tahun 2016 dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang memberi fokus kepada pemeliharaan kraf tangan tradisional dan pendapatan mampan untuk komuniti.
Antara inisiatif lain SEB dalam pemeliharaan budaya termasuk program warisan sape Telang Usan, upacara memberkati batu tungun serta sokongan kepada usaha merekod tikar tenunan terpanjang dunia oleh sekumpulan wanita Orang Ulu yang berjaya mencatatkan rekod dalam Guinness World Records pada tahun 2016.
Kerjasama tersebut sekali lagi membuktikan iltizam SEB dalam memperkukuh pembangunan komuniti, sejajar dengan agenda Kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekonomi luar bandar menerusi inisiatif digital dan kerjasama rentas industri.
Oleh Masrin Affirah