KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) merupakan sebuah syarikat pertama di Malaysia berjaya memperoleh Pinjaman Kelestarian (SLL) bernilai sebanyak RM100 juta dalam bentuk kredit daripada CIMB Bank Berhad baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd, Datu Sharbini Suhaili, berkongsi aspirasi, inisiatif dan usaha berterusan membekal tenaga boleh diperbaharui terbesar Malaysia dalam berusaha ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan.
“Kami percaya bahawa kami dapat memberikan sumbangan yang signifikan, dengan baik dari segi operasi disamping dengan meningkatkan kesedaran melalui janji ini dalam menyokong usaha global dalam mengurangi dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim,” kata beliau.
Ujar beliau lagi, perubahan iklim adalah salah satu risiko besar yang sedang dihadapi dunia ketika semua aktiviti ekonomi memerlukan tenaga dan Sarawak Energy adalah pembangun tenaga dan penyedia utiliti dengan kemampuan untuk membuat perubahan nyata dengan keputusan strategik.
Melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau SCORE yang strategik, Sarawak telah mengurangkan kebergantungannya pada bahan bakar fosil dan sumber lain yang tidak boleh diperbaharui dalam campuran penjanaannya sambil meneruskan pertumbuhan ekonomi kepada rakyat.
Sehubungan itu, sebagai agensi pelaksana untuk Kerajaan Sarawak dalam sektor tenaga, Sarawak Energy telah menjadi pembekal tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia dengan portfolio tiga loji hidro elektrik yang menghasilkan 3,452MW tenaga boleh diperbaharui dengan loji hidro elektrik keempat dalam perancangan.
Sharbini menambah, dengan campuran penjanaan tenaga hidro yang dapat diperbaharui yang disokong oleh sumber haba asli untuk keselamatan tenaga, usaha dekarbonisasi Sarawak Energy telah menyaksikan intensiti pelepasan karbon dioksida dari grid utama Sarawak menurun sebanyak 76.5 peratus sejak 2009.
“Dengan adanya sokongan dan dana dari Kerajaan Sarawak, Sarawak Energy telah menggunakan alternatif yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar dan tenaga hidro mikro untuk mengerakkan elektrik di kawasan luar bandar Sarawak dengan sasaran untuk mencapai elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2025,” ujar beliau.
Sementara itu, di bawah naungan agenda kelestarian Kerajaan Sarawak melalui tenaga boleh diperbaharui, Sarawak Energy mempelopori penyelidikan hidrogen hijau untuk membolehkan ekonomi berasaskan hidrogen melalui Loji Pengeluaran Hidrogen dan Stesen Pengisian Bahan Bakar, yang pertama di Asia Tenggara.
“Usaha-usaha ini menjurus ke arah menyokong dan melengkapkan peralihan berterusan Sarawak untuk ekonomi karbon rendah dalam jangka masa panjang malah mengurangkan pelepasan karbon sekaligus mempercepatkan pembangunan ekonomi di negeri ini,” jelas Sharbini.
Katanya, sejajar dengan agenda kelestarian negara, nasional dan global, Sarawak Energy telah mengembangkan strateginya ke peringkat yang tinggi untuk Iklim Tindakan dari segi mengurangi dan menyesuaikan diri dengan keadaan perubahan iklim. Ini akan sekaligus meningkatkan keberkesanan dalam mengukur dan menilai risiko yang berkaitan dengan iklim yang berkaitan dengan Sarawak Energy dan rantaian bekalannya.
“Sarawak Energy juga memastikan pekerja yang seramai 5,200 menyokong inisiatif tersebut melalui kempen ‘Go Green’ pada 2017 di mana tiada penggunaan plastik dan styrofoam digunakan dalam perkhidmatan katering dibenarkan.
Sharbini juga menegaskan bahawa pelaksanaan agenda berterusan Sarawak Energy mempunyai cabaran yang tersendiri, termasuk usaha berterusan untuk mencapai keseimbangan dalam memenuhi keperluan untuk pembangunan lestari, harapan pihak berkepentingan dan penciptaan nilai.
Oleh Jeakqleyn Yacho