
BINTULU: Sarawak terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab petrokimia serantau apabila berjaya mengeksport 500,000 metrik tan metanol dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pencapaian itu membuktikan permintaan tinggi terhadap produk petrokimia negeri, melibatkan lebih 60 penghantaran kargo ke destinasi antarabangsa termasuk China, Indonesia, Taiwan, Vietnam, Thailand, Filipina serta Semenanjung Malaysia.
“Dengan asas yang kukuh ini, Sarawak beraspirasi untuk terus memperkasakan kedudukannya sebagai hab petrokimia utama di Asia, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dan negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam tadi.
Abang Johari berkata, pencapaian tersebut dipacu oleh kemudahan bertaraf dunia termasuk Pelabuhan Bintulu dan kilang metanol bernilai RM7 bilion di Tanjung Kidurong, disokong sistem eksport serta logistik moden dan cekap.
“Ia bukan sahaja meningkatkan pendapatan negeri, malah membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat serta merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana di kawasan sekitar,” jelas beliau.
Tegasnya, kejayaan ini juga mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap keupayaan Sarawak untuk memenuhi piawaian global dan mengekalkan bekalan stabil ke pasaran serantau.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus memperkukuh industri petrokimia menerusi pelaburan strategik baharu bagi memastikan Sarawak kekal kompetitif dalam pasaran Asia yang pesat berkembang.
“Kita mahu menempatkan Sarawak sebagai pemacu utama pertumbuhan petrokimia dan ekonomi hijau di rantau ini, seiring dengan aspirasi negeri mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.
Oleh Carolyne Utih