

KUCHING: Sarawak dijangka memuktamadkan pengambilalihan MASWings Sdn Bhd menjelang 31 Disember tahun ini, sekali gus menandakan pencapaian penting kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh hubungan udara serantau melalui syarikat penerbangannya sendiri, AirBorneo.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata susulan pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) antara AirBorneo Holdings Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) pada Februari lepas, kedua-dua pihak kini sedang berusaha memenuhi syarat terdahulu yang diperlukan sebelum urus niaga itu dapat diselesaikan.
“Ini termasuk mendapatkan kelulusan kawal selia daripada pihak berkuasa penerbangan utama sepertiti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
“Proses itu turut melibatkan pemindahan aset daripada MAG kepada AirBorneo dan persediaan bagi operasi peralihan yang lancar,” katanya semasa sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Dr Jerip menjawab soalan daripada Datuk Seri Wong Soon Koh (GPS-Bawang Assan) yang ingin mengetahui sama ada proses pengambilalihan MASWings telah diselesaikan dan sama ada perubahan pemilikan itu akan menjejaskan operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Beliau berkata walaupun berlaku perubahan pemilikan, rangkaian RAS yang beroperasi untuk kawasan pedalaman serta kurang perkhidmatan di Sarawak dan Sabah dijangka mengekalkan jadual, kekerapan dan liputan sedia ada.
“Seluruh petugas MASWings akan dikekalkan dan pengalaman mereka memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan operasi serta kesinambungan perkhidmatan semasa dan selepas proses peralihan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada Wong, Dr Jerip berkata perjanjian interim RAS antara kerajaan Persekutuan dan MASWings Sdn Bhd yang ditandatangani pada 19 Disember 2024 akan terus berkuat kuasa hingga tamat tempoh pada 31 Disember 2025.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kerajaan negeri bersama dengan AirBorneo sedang berunding dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), agensi Persekutuan berkaitan dan pihak berkepentingan utama lain bagi merangka terma dan syarat perjanjian RAS yang baharu.
Beliau berkata ini bagi memastikan perhubungan udara di kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah diteruskan tanpa gangguan.
“Perjanjian ini termasuk komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus memberi subsidi kepada RAS kerana akan ada terma dan syarat baharu dengan AirBorneo,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan. – Bernama