SARATOK: Jika perancangan Jabatan Hutan Sarawak untuk mewujudkan ladang hutan berjalan lancar serta dipersijilkan menjelang 2030, Sarawak tidak akan mengalami kekurangan bahan mentah untuk menampung aktiviti pembalakan dan industri perkayuan di negeri ini termasuklah untuk dieksport ke luar negara.
Menerusi kenyataan media dari Jabatan Hutan Sarawak, berdasarkan keperluan semasa, rata-rata pasaran luar negara amat mementingkan balak serta produk kayu yang dikeluarkan dari ladang-ladang hutan serta mendapat status persijilan pengurusan hutan untuk menampung industri di negara mereka.
Justeru, bermula 2020, Jabatan Hutan Sarawak telah menumpukan pembangunan ladang hutan serta memastikan mereka memperolehi status persijilan tersebut.
Mengulas kenyataan berkenaan, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad menyatakan, Sarawak yang masih memiliki lebih kurang 1.6 juta hektar tanah berstatus NCR boleh dibangunkan sebagai kawasan ladang hutan untuk menanam pelbagai spesis pokok cepat tumbuh serta tahan terhadap rintangan penyakit.
Tambahnya, di peringkat jabatan, selain daripada membangunkan tapak-tapak semaian untuk membekalkan benih-benih pokok yang berkualiti, Jabatan Hutan turut mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak bagi membangunkan penyelidikan dan pembangunan (RnD) untuk memastikan program eestorasi hutan berjaya.
Disamping itu juga, Jabatan Hutan Sarawak mewajipkan semua pelesen untuk mendapatkan status persijilan pengurusan hutan bagi konsesi masing-masing. Sehingga kini, sebanyak 10 kawasan lesen yang berkeluasan 955,676 hektar telah dipersijilkan.
Atas kepentingan pembangunan ladang hutan secara menyeluruh, Pengarah Hutan Sarawak telah mengadakan lawatan kerja ke salah sebuah kawasan ladang hutan yang terletak di Ulu Awik Saratok.
Ladang hutan ini diusahakan bersama Syarikat Salam Serimas Sdn Bhd dengan 40 penduduk setempat di kawasan Ulu Awik Saratok atas tanah NCR mereka.
Menurut Pengarah Urusan Syarikat tersebut Solomon Tan, ladang hutan tersebut hanya terletak kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan kenderaan dari pekan Saratok.
Daripada 390 hektar kawasan sedia ada, seluas 210 hektar telah pun ditanam dengan spesies pokok cepat tumbuh iaitu Batai atau nama saintifiknya ‘Albizia falcatasppa spp’.
Menurut Solomon lagi, berdasarkan kadar pertumbuhan iaitu 95 peratus dengan ukur lilit pokok yang yang mencapai 30 sentimeter bagi tempoh empat tahun penanaman, pokok-pokok ini sedia untuk dituai antara enam hingga tujuh tahun sahaja.
Para penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan boleh memanfaatkan kemudahan asas yang disediakan seperti jalan ladang untuk membangunkan tanah-tanah NCR mereka yang lain.
Sebagai rekod, melalui konsep ini terdapat dua kawasan penanaman ladang hutan yang telah berjaya dan boleh dijadikan model bagi menjayakan konsep ladang hutan yang berorentasikan projek usahasama iaitu di Kaki Wong Mapar Saratok yang dilaksanakan Syarikat Kaki Wong Forests Plantation Sdn Bhd dengan 80 penduduk Rumah Josephine Entira yang berkeluasan 350 hektar.
Oleh Earl Anek