
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa ekonomi utama negara apabila Affin Bank Berhad memilih Kuching sebagai lokasi pertama Pejabat Wilayah dan Korporatnya di Malaysia.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkara ini bukan sahaja tanda kemajuan bagi bank, tetapi juga pengiktirafan terhadap kekuatan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang serta kepentingannya dalam negara.
“Tahun lalu, KDNK kita melebihi RM148 bilion, menjadikan kita ekonomi negeri ketiga terbesar di Malaysia, dengan pertumbuhan melebihi purata nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Affin Bank, di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange, hari ini.
Tambah beliau, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), Sarawak kini sedang membina industri baharu dalam hidrogen, transformasi digital, pembuatan berteknologi tinggi, dan pertanian mampan, di samping memperkukuh pelancongan serta ekonomi kreatif.

“Dengan tenaga boleh diperbaharui, inovasi, dan bakat sebagai pemacu, Sarawak bergerak dengan matlamat jelas ke arah menjadi ekonomi berdaya saing, mampan, dan inklusif menjelang 2030.
“Untuk mencapai visi ini, kita memerlukan Institusi Kewangan yang benar-benar memahami keutamaan kita dan dekat dengan rakyat kita.
“Bermula hari ini, keputusan boleh dibuat di Kuching sendiri, memastikan keperluan komuniti kita ditangani secara langsung dan berkesan, dekat sahaja tak perlu tunggu jauh-jauh untuk berbincang,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa Affin terus memperkukuh kedudukannya di rantau ini apabila tersenarai untuk kali kedua dalam senarai Fortune 500 Syarikat Asia Tenggara, sekali gus membuktikan potensi kukuhnya di ASEAN.
“Pada masa sama, pelancaran Kad Borneo baharu di Malaysia Timur menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih fleksibel, termasuk ganjaran dan promosi yang memberi manfaat terus kepada komuniti setempat.

“Langkah ini bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada rakyat, malah memperkukuh komitmen Affin terhadap prinsip keterangkuman dalam perbankan.
“Inisiatif seumpama ini penting bagi memastikan kepercayaan rakyat kepada sistem perbankan dapat diperkukuh dan seterusnya menyokong aspirasi pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pengenalan Kad Kredit Borneo oleh Kumpulan Affin, iaitu kad pertama di Malaysia yang direka khusus dengan mengambil kira keperluan harian komuniti di Sarawak dan Sabah.
Oleh Masrin Affirah