
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Persekutuan berharap Sarawak akan memberi maklum balas yang positif terhadap cadangan penggubalan undang-undang selaras dengan Akta Perkongsian Data 2024, yang mula dikuatkuasakan pada April 2025, bagi menyokong pelaksanaan sistem perkongsian data secara menyeluruh di peringkat nasional.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, perkara tersebut dibincangkan secara mendalam semasa pertemuannya bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, yang memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri dalam aspek digitalisasi.
“Penggubalan undang-undang ini penting bagi memastikan proses perkongsian data antara kerajaan pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan dapat dilaksanakan secara selamat, telus dan berpandukan garis panduan yang jelas,” katanya kepada media semasa lawatan kerja ke ibu pejabat Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), hari ini.
Tambah beliau, pihak kementeriannya akan menugaskan pegawai undang-undang ke Sarawak untuk menyokong proses perbincangan dan memberi nasihat berkenaan pelaksanaan undang-undang berkenaan di peringkat negeri.
Dalam pada itu, Gobind turut memuji inisiatif digital yang dilaksanakan kerajaan Sarawak menerusi SAINS, yang menurutnya menjadikan Sarawak antara negeri terawal dan paling maju dalam pelaksanaan transformasi digital sektor awam.
“Kita sedang berusaha mewujudkan satu platform digital bersama bagi menyepadukan perkhidmatan kerajaan pusat dan negeri.
“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses transformasi digital secara menyeluruh, malah menjimatkan kos kerana banyak perkhidmatan telah pun didigitalkan di peringkat negeri,” jelasnya.
Jelas beliau lagi, lawatannya ke beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak adalah sebahagian daripada usaha kementeriannya untuk menilai kesiapsiagaan negeri-negeri dalam melaksanakan inisiatif perkongsian data secara menyeluruh.
“Kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan pusat amat penting untuk mempercepatkan pelaksanaan transformasi digital di seluruh negara,” ujarnya.
Oleh Amanda L