
KUCHING: Sarawak optimis bahawa Sarawak Delta Geopark akan menerima pengiktirafan rasmi sebagai UNESCO Global Geopark menjelang Mei 2026, susulan kejayaan melepasi penilaian awal dan memperoleh status ‘green card’ dalam Mesyuarat Ke-10 UNESCO Global Geoparks Council yang diadakan di Chile, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pengiktirafan itu bakal memberi impak besar kepada Sarawak dari segi ketampakan di peringkat global, prestij antarabangsa, peluang penyelidikan, serta perkembangan sektor ekopelancongan.
“Usaha ini sebenarnya sudah bermula sejak 2009, namun hanya pada 2019 ia digerakkan secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Menurut beliau, empat komponen utama yang diketengahkan dalam pencalonan Sarawak Delta Geopark ialah aspek geologi, biodiversiti, pembangunan lestari masyarakat serta ekopelancongan.
Mengulas lanjut, Len Talif berkata, hasil penilaian terbaru oleh dua assessor antarabangsa mendapati dokumentasi, tapak geosite, dan pelaksanaan program berada pada tahap yang memuaskan, dengan hanya kelemahan kecil yang boleh diperbaiki.
“Hampir 99.99 peratus kita akan diterima. Secara keseluruhannya, mereka bersetuju Sarawak Delta Geopark ini disenaraikan sebagai UNESCO Geopark,” jelasnya.
Sarawak Delta Geopark meliputi kawasan seluas lebih 300,000 hektar dengan pelbagai geotapak yang dikenal pasti sebagai tarikan utama.
Jika diluluskan, Sarawak Delta Geopark akan menjadi UNESCO Global Geopark kedua di Borneo, selepas Kinabalu Geopark di Sabah yang diiktiraf pada 2023.
Oleh Shahrul Qaizat