SELEPAS Jepun menyerah kalah kepada tentera Berikat pimpinan Australia di Sarawak, pentadbiran Sarawak diserahkan kepada tentera Australia.
Perancangan untuk membebaskan Sarawak (Brunei dan Sabah) telah dirancang semasa Perang Dunia Kedua lagi. Pihak British yakin untuk mengalahkan Jepun dan memerlukan persediaan awal bagi mentadbir Sarawak. Oleh itu badan pentadbiran yang akan diwujudkan ini berperanan memulihkan masalah selepas perang dan seterusnya membolehkan pentadbiran awam diwujudkan kemudiannya.
Borneo Planning Unit
Pada Oktober 1943, Borneo Planning Unit (BPU) ditubuhkan. BPU ini diketuai oleh bekas pegawai Barat di Borneo Utara iaitu C.F.C. Macaskie. Macaskie pernah dipinjam oleh kerajaan Brooke untuk memegang jawatan setiausaha kerajaan negeri dari 1932 hingga 1934. Di Borneo Utara iaitu Sabah pula beliau pernah memegang jawatan Ketua Hakim dan Timbalan Gabenor sebelum Jepun menyerang utara Borneo.
BPU ditubuh untuk mewujudkan satu pemusatan pentadbiran antara Sarawak, Sabah dan Borneo. Untuk jangka masa panjang pentadbiran ini akan memastikan bahawa masa depan politik dan pembangunan sosial di utara Borneo tidak bertentangan dengan polisi umum kerajaan koloni di London.
Perkembangan selanjutnya BPU ini membawa pembesaran badan ini dan mula ke arah ketenteraan. Ia mula dikenali pula sebagai 50th Civil Affair Unit (50 CAU). Unit ini kemudiannya berkerjasama dengan pasukan awam Australia yang dikenali sebagai British Borneo Civil Affair Unit (BBCAU). BBCAU ini pula diketuai oleh Kolonel A. A. Conlon.
Walaupun kedua-dua badan ini mempunyai matlamat yang sama tetapi Conlon tidak begitu senang dengan 50 CAU kerana Conlon ingin mengembangkan pengaruh Australia di Borneo. Malahan Conlon dan Macaskie cuba bersaing antara satu sama lain dalam mengatur pentadbiran di utara Borneo. Conlon mengambil pendekatan untuk melengah-lengahkan penyertaan pegawai-pegawai 50 CAU di Borneo. Malah Conlon tidak memaklumkan apa-apa rancangan ketenteraannya kepada Macaskie sehingga diperingkat penghujung sahaja.
Walaupun adanya persaingan watak dalam hal ini, 50 CAU akhirnya diserap masuk dalam BBCAU dengan Macaskie mengetuainya. Selain membentuk pentadbiran di utara Borneo, BBCAU ini juga berperanan dalam memberi bekalan makan dan membantu operasi ketenteraan di utara Borneo.
BBCAU
Untuk tujuan pembangunan pentadbiran awam, BBCAU kemudiannya menyerap masuk ke dalam Services Reconnaissance Department (SRD). Kejayaan tentera Berikat membebaskan wilayah utara Sarawak dan selatan Sabah membolehkan BBCAU menjalankan peranannya untuk mentadbir kawasan yang dibebaskan. Sejak Julai 1945 BBCAU ini telah menjalankan peranan di kawasan pedalaman Sarawak. Kerja-kerja mereka meluas sehingga sebahagian besar Sarawak apabila tentera Jepun di Kuching menyerah kalah pada awal September 1945.
BBCAU menguasai keseluruh Sarawak apabila Leftenan Fujino menyerah kalah. Namun demikian pentadbiran di bawah BBCAU ini masih terikat kepada Panglima Besar Tentera Australia menerusi pegawai pemerintah Bahagian Ke-9 Tentera Australia. Manakala Ketua Pegawai Hubungan Awam perlu merujuk kepada pegawai pemerintah ini untuk mengatur sebarang polisi.
Di bawah pemerintahan tentera Australia ini utara Borneo disatukan dalam satu unit pentadbiran. Pada November 1945 wilayah utara Borneo yang merangkumi Sarawak, Sabah dan Brunei ini dipecahkan kepada beberapa unit pentadbiran kecil. Unit pertama adalah Bahagian Kuching yang terdiri daripada Kuching, Simanggang, Bau dan Serian. Pusat pentadbiran bahagian ini ialah di Kuching. Manakala unit kedua pula ialah Bahagian Sibu. Unit ini meliputi Sibu, Sarikei, Rajang, Mukah dan Oya. Bahagian ini pusat pentadbirannya adalah di Sibu.
Unit ketiga pula adalah Bahagian Miri. Bahagian ini berpusat di Miri dan merangkumi Miri, Marudi, Bintulu dan Sibuti. Unit seterusnya adalah Bahagian Brunei-Labuan. Bahagian ini meliputi beberapa tempat di Sarawak seperti Limbang dan Lawas. Manakala sebahagian lagi adalah keseluruhan Brunei dan Labuan. Pusat pentadbirannya adalah di Brunei.
Dua lagi unit pentadbiran ini adalah bahagian yang meliputi tempat-tempat di Sabah. Bahagian Jesselton misalnya meliputi Jesselton (Kota Kinabalu), Weston, Kudat, Mempakul, Papar dan Beaufort. Pusat pentadbirannya adalah di Jesselton. Bahagian ini meliputi pantai Barat Sabah.
Bagi unit terakhir adalah Bahagain Sandakan. Bahagian ini meliputi keseluruhan bahagian pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Semporna, Tawau, Sapi dan Lahad Datu. Manakala Sandakan menjadi pusat pentadbirannya. Kelima-lima unit pentadbiran ini diketuai oleh seorang pegawai tinggi tentera.
Cabaran
Tugas BBCAU ini amat berat kerana ia perlu memulihkan keadaan Sarawak selepas perang. Ini kerana penduduk tempatan berhadapan dengan masalah kekurangan bahan makanan dan masalah kesihatan yang agak meruncing. Kawasan pedalaman juga mengalami kesan perang tersebut akibat kerjasama penduduknya dengan tentera Berikat pimpinan tentera Australia.
Banyak juga rumah panjang dibakar dan bekalan makanan mereka dirampas oleh pihak Jepun. Bekalan makanan seperti beras, daging, ikan, garam, susu dan kopi antara barangan yang perlu dibekalkan kepada penduduk ini. Halangan utama petugas-petugas BBCAU adalah ketiadaan satu jaringan pengangkutan sempurna menyukarkan barang-barang ini dibawa dan diangkut ke kawasan penduduk.
Walaupun tidak adanya kejadian wabak penyakit tetapi beberapa penyakit dalam kalangan penduduk pedalaman mula muncul terutama penyakit kulit, puru, ulser, disentri dan malaria. Keadaan ekonomi juga agak teruk kerana banyak kawasan pertanian komersial telah rosak dan ada yang ditinggalkan.
Bagi mengatasi masalah selepas perang ini, usaha telah dibuat dengan mengadakan catuan makan kepada penduduk tempatan. Untuk meningkatkan pengeluaran makanan maka beberapa risalah dikeluarkan untuk mengalakkan penanaman tanaman makanan. Manakala benih-benih dibekalkan kepada penduduk tempatan untuk bercucuk tanam. Bagi memacukan ekonomi maka beberapa lesen diberi kepada penguasaan Barat dan pembukaan estet getah.
Perdagangan mula beroperasi semula dengan kedatangan kapal-kapal dagang dari Singapura. Bagi kesihatan pula bekalan ubat dan pegawai perubatan telah dihantar ke Sarawak untuk membantu menyelesaikan masalah kesihatan penduduk tempatan.
Pentadbiran British
Pentadbiran BCCAU ini tidak berpanjangan kerana pada 5 Januari 1946 pentadbiran Sarawak diserahkan oleh BCCAU kepada British Military Administration (BMA). Brigadier E. C. J. Woodford yang mengetuai 34rd Indian Infantry Brigade mengetuai pentadbiran tersebut.
Manakala BCCAU pula terbubar sebagai salah satu unit di bawah pentadbiran Australia tetapi mula dimasukkan dalam BMA. Jawatan Ketua Pegawai Hubungan Awam masih dikekal dipegang oleh Macaskie.
Pada Februari 1946 pula beberapa jabatan awam seperti pertanian, tanah dan ukur, kerja awam dan kastam mula dipecahkan menjadi unit berbeza bagi Sarawak dan Sabah.
Pentadbiran BMA ini tamat pada 15 April 1946. Kuasa pemerintahan pula diserahkan kepada kerajaan Brooke. Ketika itu rundingan untuk menyerahkan Sarawak kepada British sedang berlangsung. Akhirnya keputusan menyerah Sarawak kepada British menjadi kenyataan apabila pada 1 Julai 1946 Sarawak beralih tangan kepada kuasa British sebagai jajahan tanah mahkota.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.