APABILA berlaku perang di Eropah pada lewat 1930-an, Sarawak memberi perhatian serius tentang hal ini. Ini kerana pemerintahan Brooke yang masih lagi mempunyai hubungan dengan leluhan mereka di England, amat prihatin tentang apa yang berlaku pada tanah air mereka.
Oleh kerana itu kerajaan Brooke menguar-uarkan berita yang berlaku di Eropah untuk menarik perhatian rakyat Sarawak. Secara tidak langsung, penduduk Sarawak juga berasa simpati dengan masalah dihadapi penduduk England akibat serangan tentera Jerman.
Perang antara Britain dan Jerman bermula pada 1939 apabila Jerman menyerang Poland pada 1 September 1939. Satu persatu negara di Eropah berjaya ditawan oleh Jerman kecuali Britain. Britain yang merupakan negara pulau terselamat kerana dikawal rapi oleh tentera laut mereka. Namun Jerman menggunakan serangan udara ke atas London menyebabkan kemusnahan dan kebimbangan penduduk di bandaraya tersebut.
Berita
Oleh itu berita tentang apa yang berlaku di England mula disiarkan menerusi Sarawak Gazette. Antara berita disiarkan adalah serangan Jerman pada 1940 menyebabkan kemusnahan kepada rumah bekas pegawai Brooke iaitu Sir Percy F. Cunynghame di Onslow Square, London. Dimaklumkan juga bahawa beliau dilanggar teksi tetapi tidak mengalami kecederaan yang serius.
Sementara itu, pembukaan siaran radio Sarawak pada lewat 1930-an, memain peranan penting dalam menyebar luas berita-berita dunia ketika itu. Siaran radio Sarawak yang disiar dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina menjadi alat penting menyebar luas maklumat tersebut. Usaha juga dirancang untuk menyiarkan berita dalam bahasa Iban.
Berita-berita perang dari London, Chungking, Bandung dan beberapa lagi station radio gelombang pendek disiarkan setiap minggu. Selain itu, radio ini juga berperanan dalam menyiarkan perancangan kerajaan dalam era peperangan terutama program kawalan makanan. Bagaimanapun, penyiaran berita menerusi radio ini agak terhad kerana set-set radio hanya dimiliki oleh segelintir pihak sahaja.
Pengorbanan
Pada Disember 1939, Raja Vyner Brooke telah membuat ucapan tentang perlunya pegawai-pegawai Eropah di Sarawak untuk berkorban bagi membantu kerajaan Imperial British yang sedang bergelut dalam peperangan. Beliau mencadangkan untuk mencukaikan pendapatan mereka bagi menyumbang untuk tabung perang ini. Menurut beliau usaha ini merupakan pengorbanan persendirian pegawai kanan Brooke di Sarawak.
Beliau menambah bahawa bebanan perang ini perlu dikongsi bersama dengan semua warganegara. Beliau menekankan bahawa kehendak untuk menang itu bukan sahaja untuk kewajaran untuk menang tetapi juga untuk menyumbang bersama-sama dalam mengejar kemenangan.
Dalam hal ini pegawai kerajaan Brooke boleh bersama-sama membantu bagi mencapai matlamat mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk dunia.
Sumbangan
Bagi membantu Britian dalam hal ini, maka kerajaan Brooke mengadakan kutipan derma. Pada 1940 dinyatakan bahawa jumlah kutipan berjumlah $2,001,329,61. Raja Vyner Brooke sendiri memberi sumbangan kepada tabung perang ini sebanyak $42,525.
Kerajaan Sarawak paling banyak menyumbang kepada tabung perang ini menerusi dua kali sumbangan. Penyumbang-penyumbang ini juga datang daripada pihak peladang-peladang getah Sarawak.
Sebelum itu, Raja Vyner Brooke pada 1939, telah bermurah hati menyumbangkan sebanyak $1,000,000 kepada kerajaan British dalam usaha menangani peperangan di Eropah.
Sumbangan itu menurut beliau datang daripada rakyat Sarawak. Setiausaha Tanah Jajahan British membalas dengan ucapan penghargaan kepada kerajaan Sarawak dan rakyatnya kerana bersama-sama membantu dalam usaha menangani masalah perang.
Setiausaha Tanah Jajahan itu juga memuji Raja Vyner Brooke kerana komitmentnya dalam usaha membantu pihak British semasa peperangan. Dalam usaha meningkatkan bantuan kewangan bagi menyokong Britan dalam peperangan ini terdapat usaha kerajaan Brooke untuk mengeluarkan ‘War Serving Certificates’. Usaha untuk mengumpul dana ini dimulakan dengan kata-kata bahawa setiap dolar yang disumbangkan akan membantu meningkatkan kekuatan Britain untuk mengalahkan Hitler yang memimpin Jerman.
‘War Serving Certificates’ ini adalah bon kerajaan yang diterbitkan untuk dibeli oleh penduduk tempatan yang berminat. Sijil ini dijual dengan pelbagai nilai iaitu $15, $75, $150 dan $750 setiap satu, manakala faedah yang akan dinikmati oleh mereka adalah tiga peratus untuk tempoh 10 tahun.
Sijil ini juga boleh dijual pada bila-bila masa oleh pembelinya. Dijelaskan juga bahawa sijil tersebut dijamin oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat. Ditegaskan lagi bahawa setiap dolar yang disumbangkan akan membantu usaha untuk tujuan kebebasan dan keselamatan.
Pejabat pos Sarawak menjadi pusat untuk membeli sijil-sijil tersebut. Dalam usaha meningkatkan tabung perang di Sibu pada Disember 1939 telah diadakan jualan tiket loteri. Residen bahagian ketiga, A. G. Aikman meluluskan acara cabutan loteri tersebut. Aikman sendiri menjadi penaung kepada cara itu.
Sebanyak 10,000 tiket telah dijual untuk jualan loteri tersebut dengan harga 50 sen satu tiket. Sebanyak kira-kira $4,600 telah dikutip. Sebanyak £500 telah diserahkan kepada pasukan Palang Merah di London.
Persiapan perang
Pada masa sama, Raja Vyner Brooke dengan sokongan kerajaan British telah bersama-sama membuat persiapan daripada kemungkinan diserang oleh pihak musuh. Raja Vyner Brooke dimaklumkan tentang persiapan ini pada 1939 oleh Setiausaha Pertahanan, Nigel Hughes. Antara perkara disentuh oleh Hughes dalam hal ini ialah tentang komoditi bekalan makanan asas. Semua barangan asas seperti gula, beras dan mentega mempunyai bekalan yang boleh bertahan selama tiga bulan.
Dalam hal ini Hughes menyatakan usaha juga dibuat untuk menambah bekalan makanan menerusi pertanian. Beliau memuji Raja Vyner Brooke kerana telah memberi satu bidang tanah di belakang Astana untuk tujuan pertanian kepada penduduk tempatan. Usaha ini diharap dapat meningkatkan minat penduduk tempatan untuk melakukan usaha penanaman bagi meningkat hasil makanan di Sarawak.
Usaha kerajaan Brooke dalam membantu kerajaan British melawan musuhnya di Eropah menjelaskan bagaimana keterikatan kuat antara Sarawak dan Britain dalam Perang Dunia Kedua. Malahan penduduk Sarawak juga menunjukkan sikap postif dalam usaha menangani masalah dunia ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.