KUCHING: Sarawak mendapat tambahan 1,040 guru untuk pengambilan khas, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 2,180.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata penambahan ini diberikan selepas mesyuarat kementeriannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) semalam.
“Sebelum ini kami menawarkan 1,140 untuk pengambilan khas guru bagi Sarawak. Jadi, semalam, selepas mesyuarat bersama SPP, mereka memutuskan bahawa kita akan mengambil 2,180 guru tahun ini dibawah Pengambilan Khas Sarawak.
“Permohonan untuk mengisi kekosongan ini mendapat sambutan hangat kerana pemohon dari Sarawak sahaja lebih 15,000, manakala 2,000 permohonan dari luar Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaTFair) di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Roland Sagah berkata permohonan yang sudah menjalani tapisan awal sudah dipanggil untuk ujian psikometrik baru-baru ini secara atas talian.
Katanya, selepas itu barulah calon akan dipanggil untuk temu duga secara fizikal.
“Jadi dari sini, mereka yang dipanggil untuk temuduga fizikal akan dinilai sama ada mereka akan mendapat jawatan ini atau tidak,” jelasnya.
Difahamkan, lebih kurang 6,000 calon yang melepasi ujian psikometrik akan dipanggil untuk temu duga pada minggu kedua Oktober.
Temu duga ini dirancang akan diadakan di tiga bahagian iaitu Kuching, Sibu dan Miri.
Untuk makluman, berdasarkan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), negeri ini dijangka menghadapi kekurangan 2,373 guru menjelang penghujung tahun ini.
Sebelum ini Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah menghebahkan iklan pengambilan khas guru untuk rakyat Sarawak secara besar-besaran bermula 1 Ogos lalu dan berakhir pada 23 Ogos.
Daerah Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok, dan Betong mengalami kekurangan yang paling ketara, masing-masing dengan lebih 100 kekosongan.
Kekurangan terbesar adalah dalam subjek khusus seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu, dan Pendidikan Pemulihan, selain kekosongan dalam 22 subjek lain, termasuk jawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Pengisian jawatan itu ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan SPP bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di semua 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Sarawak.
Pengambilan khas guru baru itu adalah terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda pendidikan dan juga graduan ijazah sarjana muda bukan pendidikan.
Permohonam dibuka mulai 1 Ogos hingga 23 Ogos 2024.
Calon yang berminat perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian MySPP menerusi https://myspp.spp.gov.my/myspp/index.php.
Sesi temu duga dilaksanakan pada minggu kedua September 2024 manakala keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan disasarkan pada November dan Disember.
Oleh SHAHRUL QAIZAT