LINGGA: Kerajaan Sarawak masih mempertimbangkan sama ada mahu mengisytiharkan 18 November ini sebagai cuti umum bagi membolehkan mengundi balik dan mengundi sehari kemudian iaitu Sabtu 19 November.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengisytiharkan cuti umum sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu, perlu mengambil kira banyak perkara.
Beliau berkata, adalah kesannya terhadap ekonomi negeri sekiranya cuti umum tersebut diisytiharkan.
“Mengisytiharkan cuti bermakna ia perlu diwartakan. Kesannya nanti bukan sahaja boleh menaikkan kos gaji pekerja malah menyebabkan berlakunya penurunan produktiviti dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sayangku Sarawak di Dataran Pekan Lingga dekat sini hari ini.
Beberapa negeri di Semenanjung seperti Selangor dan Negeri Sembilan sudah mengumumkan cuti umum pada 18 November sempena PRU-15.
Abang Johari berkata kerajaan erajaan Sarawak tidak wajar memberikan cuti umum untuk sesuatu pilihan raya melainkan bagi perkara mendesak.
“Lagi pun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun menetapkan 19 November iaitu Sabtu ini sebagai hari mengundi,” katanya.
Hadir bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dan ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman, Dato Sri Rohani Abdul Karim dan calon GPS bagi kerusi Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Oleh VALENTINE NGUMBANG