KUCHING: Sarawak terus mencipta sejarah gemilang apabila kejayaan cemerlang dalam Kejohanan Kebangsaan 2025 dijadikan sebagai landasan penting untuk persiapan ke arah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dalam sukan berbasikal.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata semua atlet yang menyumbang kejayaan dalam kejohanan tersebut merupakan barisan atlet SUKMA 2024, dan mereka akan terus mewakili negeri dalam SUKMA 2026.
“Kejayaan ini membuktikan kesinambungan bakat dan potensi besar sukan berbasikal di Sarawak,” katanya.
Sarawak mencatat pencapaian membanggakan dalam Kejohanan Kebangsaan 2025 bagi acara berbasikal trek dan lebuhraya yang berlangsung di Johor Darul Takzim dengan meraih keseluruhan 14 pingat.
“Saya amat berbangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet yang berjaya mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan,” tambahnya ketika menghadiri pertemuan bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), empat atlet negeri, Kelab Berbasikal BUCEROS, dan Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak baru-baru ini.
Menurut laporan Sarawak Edition, Velodrom Sri Iskandar di Johor Bahru menjadi saksi kepada kejayaan atlet Sarawak yang membawa pulang 12 pingat dalam acara trek, termasuk empat emas, tujuh perak, dan satu gangsa.
Dua pelumba muda, Afif Darwysh Mohamad Nazir dan Danial Hakim Zulkaisi, turut menerima pengiktirafan apabila disarungkan jersi kebangsaan atas pencapaian luar biasa mereka di peringkat nasional.
Dalam acara Individual Time Trial yang berlangsung di Pagoh, Muar, Sarawak menambah dua lagi pingat, satu perak dan satu gangsa.
Walaupun gelaran juara keseluruhan dimenangi oleh pasukan Jakarta Pro Cycling Team, Sarawak tetap berbangga apabila Afif Darwysh dinobatkan sebagai juara kebangsaan dan mengenakan jersi kebangsaan.
Afif Darwysh mengungguli acara trek bawah 19 tahun dengan pungutan tiga emas, tiga perak, dan satu gangsa, sekaligus melayakkan dirinya menyertai Kejohanan Dunia Remaja bagi acara trek di Belanda pada 20 Ogos 2025 dan acara lebuhraya di Rwanda pada 21 September 2025.
Rakan sepasukan beliau, Danial Hakim Zulkaisi, turut menyumbang dua emas, satu perak dan satu gangsa, manakala Awang Faries Danish Awang Faisal meraih empat pingat perak dalam kategori bawah 15 tahun.
Bagi meraikan kejayaan bersejarah ini, satu majlis makan malam penghargaan telah diadakan yang turut dihadiri Dato Sri Abdul Karim.
“Kerajaan Sarawak berjanji akan terus memberikan sokongan penuh demi kemajuan sukan berbasikal di negeri ini,” ujarnya sambil menyeru semua atlet dan Kelab Berbasikal BUCEROS untuk terus berusaha mengharumkan nama Sarawak.