Sarawak catat skor tertinggi Indeks Perpaduan Nasional 2025 mengikut wilayah

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH… Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim mengagihkan bubur lambuk kepada penerima pada program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang petang tadi. Foto Akun Giman

SIBU: Sarawak mencatatkan skor tertinggi bagi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mengikut pecahan wilayah, sekali gus mencerminkan tahap perpaduan masyarakat yang kukuh di negeri itu.

Menteri Perpaduan Datuk Sri Aaron Ago Dagang berkata, laporan IPNas yang dikeluarkan baru-baru ini merupakan kajian kali ketiga dilaksanakan bagi mengukur tahap perpaduan rakyat di negara ini.

“Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Sarawak mencatatkan pencapaian tertinggi jika dibandingkan dengan tiga wilayah lain di negara ini.

“Kalau kita lihat dari segi wilayah, Sarawak mencatatkan indeks perpaduan yang tertinggi. Jika dibandingkan mengikut negeri, Pahang mencatatkan skor lebih tinggi manakala Sarawak berada di kedudukan ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini, hari ini.

SEKITAR KEMERIAHAN… Program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, hari ini. Foto Akun Giman

Ahli Parlimen Kanowit itu berkata, program berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta penglibatan aktif komuniti setempat termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bahagian Sibu.

Menurutnya, lebih 5,000 bekas bubur lambuk disediakan untuk diagihkan kepada pengunjung yang hadir ke program tersebut.

“Kita amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk agensi kerajaan, pejabat rasmi dan pusat khidmat serta Rukun Tetangga yang membantu menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berkata, program yang dianjurkan setiap tahun itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum melalui aktiviti gotong-royong dan kebersamaan komuniti.

“Tahun lepas program ini sangat meriah dan kita berharap tahun ini lebih ramai pengunjung akan hadir sekiranya cuaca mengizinkan,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim.

Oleh Akun Giman

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman