BETONG: Sarawak mencatat sejarah tersendiri apabila berupaya melaksanakan 16 jambatan sekali gus.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tiada negeri lain di negara ini selain Sarawak yang dapat berbuat demikian.
Katanya, kesemua pembinaan jambatan tersebut memerlukan peruntukan yang besar tetapi menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri.
“Kita tidak perlu menunggu Kerajaan Persekutuan lagi, hari ini kita dapat lihat dengan jelas jambatan Batang Lupar, lihatlah jambatan Saribas, Lingga, Kemena, Marudi, Muara Lassa, Paloh, Sarikei, semuanya sekali gus kita buat.
“Pembinaan jambatan-jambatan itu bertujuan menghubungkan kawasan luar bandar dan membuka kawasan ekonomi baharu kepada penduduk,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Betong di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, hari ini.
Kira-kira 1,400 perwakilan dari 14 cawangan hadir melibatkan perwakilan dari Sebuyau; Lingga; Beting Maro; Balai Ringin; Bukit Begunan; Simanggang; Engkilili; Batang Ai; Saribas; Layar; Bukit Saban; Kalaka; Krian dan Kabong.
Abang Johari juga berkata projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling dijangka mengubah landskap Betong secara keseluruhannya, dan akan memberi impak besar terhadap pembangunan ekonomi dan kemajuan infrastruktur di kawasan tersebut.
“Sekarang Betong sudah ada jambatan iaitu jambatan keluli Sungai Paku di Tanjung Sebekut, Spaoh dan STOLport Bebuling. Dengan ada landasan ini, kita boleh menarik pelancong untuk datang ke sini. Kalau kita lihat memang ada kapal terbang yang boleh membawa penumpang kira-kira 20 orang dalam satu masa menggunakan landasan yang pendek.
“Jadi apabila kemudahan ini sudah wujud, secara tidak lansung orang ramai boleh datang ke Betong dan Spaoh untuk melihat apa yang ada di sini termasuklah Tasik Batang Ai yang mana nanti kita boleh bangunkan kawasan itu untuk riadah,” katanya.
Untuk rekod, Bebuling STOLport yang bernilai RM296 juta kini telah mencapai 70.16 peratus kemajuan berbanding 69.77 peratus mengikut jadual.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyifatkan Anugerah Felo Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) yang diterima malam tadi bukan hanya pengiktirafan peribadi tetapi merupakan penghargaan kepada PBB dalam merancang dan membangunkan Sarawak.
Beliau berkata ia juga merupakan pengiktirafan kepada Sarawak atas usaha berterusan dalam merancang dan menguruskan masa depan wilayah ini dengan visi jelas.
“Ini bukan anugerah kepada saya sebagai individu tetapi adalah pengiktirafan oleh profesional perancangan Malaysia kepada pembangunan di Sarawak dari sudut perancangan bandar, ekonomi dan tenaga boleh diperbaharui serta rancangan kita dalam dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN