
SINGAPURA: Sarawak merancang membuka laluan penerbangan terus menerusi syarikat penerbangan baharunya, Air Borneo, sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala dan rantaian perdagangan dengan Singapura.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada strategi dalam merancakkan sektor pelancongan, perkhidmatan logistik, serta perdagangan rentas sempadan, khususnya menerusi peranan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS).
“Salah satu kerjasama yang kita bincangkan dengan Singapura ialah dalam sektor pelancongan. Sebab itu kita ada STATOS di sini, dan kita juga berharap Singapura akan memberi hak pendaratan kepada Air Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sarawak Mega Fair 2025 di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu, Air Borneo akan membawa pendekatan yang berbeza daripada syarikat penerbangan lain, dengan tumpuan bukan sahaja kepada perkhidmatan penumpang, tetapi juga pengangkutan kargo sejuk beku dari Sarawak ke Singapura.

“Kita akan guna pesawat ATR-72 dan ubah suai jadi pesawat kargo dengan sistem penyejukan. Contohnya, hasil laut dan buah-buahan segar boleh diterbangkan dari Sarawak seawal 6.00 pagi dan sampai ke Singapura sebelum 7.30 pagi, terus masuk ke pasaran,” jelasnya lanjut.
Langkah ini katanya, dijangka akan memberi nilai tambah kepada pengusaha tempatan di Sarawak yang ingin menembusi pasaran Singapura secara lebih pantas dan efisien.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan bahawa Sarawak menyediakan pelbagai insentif pelaburan termasuk harga tanah yang kompetitif, kadar premium yang rendah serta konsesi tarif tenaga, menjadikan Bumi Kenyalang antara lokasi paling menarik untuk pelabur asing, termasuk dari Singapura.
Beliau juga mengulangi komitmen Sarawak untuk membekalkan tenaga hijau ke Singapura menjelang 2032, selaras dengan kerjasama tiga hala bersama kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk pembinaan kabel dasar laut.
Turut serta dalam sidang media itu, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Pengerusi Lembaga Pengarah STATOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. – UKAS