
PETRA JAYA: Sarawak bercadang menganjurkan 18 acara sukan sempena temasya Sukan SEA 2027, yang dijadual berlangsung di Malaysia, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut beliau, cadangan tersebut telah dibincangkan secara tidak rasmi bersama Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Hannah Yeoh dan pegawai kementerian, kini masih menunggu pemuktamadan daripada pihak penganjur pusat.
“Kita telah kenal pasti secara awal lebih kurang 18 acara sukan yang boleh diadakan di Kuching dan Samarahan, tetapi semuanya masih dalam proses perbincangan,” katanya dalam sidang media Asia/Oceania Final Qualifying ITF World Junior Tennis U14 Boys & Girls di Baitulmakmur II, hari ini.
Antara sukan yang dicadangkan termasuk boling tenpin, renang, terjun, kriket, taekwondo, memanah dan menembak. Namun, Abdul Karim menekankan keperluan untuk menambah baik beberapa kemudahan sedia ada, seperti untuk acara menembak ‘skid and trap’.
“Sarawak memiliki fasiliti yang baik seperti gelanggang boling di Megalanes, kolam renang, venue kriket dan memanah. Untuk acara menembak jenis ‘clay pigeon’, kita akan lihat keperluan membina kemudahan baharu di kawasan lapang,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa Persatuan Gimnastik Malaysia telah menyuarakan minat untuk mengadakan acara gimnastik di Kuching, memandangkan kejayaan penganjuran SUKMA sebelum ini. Namun, cadangan itu juga masih di peringkat perbincangan.
Selain itu, Abdul Karim memaklumkan Sarawak telah memohon untuk menjadi tuan rumah bagi upacara pembukaan temasya berprestij itu dan setakat ini, permintaan tersebut telah diterima secara prinsip.
“Kita telah minta supaya majlis pembukaan diadakan di Kuching dan permintaan ini telah mendapat maklum balas yang positif,” katanya.
Sarawak sebelum ini telah menzahirkan komitmen penuh dalam menyokong penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para Asia 2027, susulan pengumuman Jemaah Menteri Persekutuan berhubung penubuhan jawatankuasa penganjur di peringkat kebangsaan.
Oleh Amanda L.