PERSATUAN Tenpin Bowling Para Negeri Sarawak telah membuat persiapan yamg baik dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang betul, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah
Beliau berkata, ini adalah bagi memastikan latihannya dilaksanakan sesuai dengan norma yang diterima dan garis panduan yang ditetapkan.
Menurutnya, surat kebenaran daripada ibu bapa untuk atlet bawah 21 tahun dan atlet dewasa yang berumur lebih dari 21 tahun adalah wajib.
“Atlet mesti datang untuk berlatih dengan persetujuan yang betul untuk memastikan keharmonian kepada semua pihak.
“SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti pemantauan suhu, merekodkan kehadiran, sanitasi dan kebersihan dikekalkan sepanjang sesi latihan.
“Penjarakan sosial dalam sukan mestilah dipatuhi dengan ketat iaitu antara tiga hingga lima meter, dengan itu hanya dua orang yang boleh menggunakan satu lorong dan mereka boleh menduduki lorong alternatif sahaja,” katanya selepas melakukan lawatan ke sesi latihan atlet OKU di Megalanes Sarawak.
Fatimah memberitahu, latihan sukan atlet OKU adalah sebagai persediaan bagi menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang sudah dilaksanakan sejak Januari tahun ini harus diteruskan supaya kecergasan mereka konsisten.
“Atlet OKU seramai 164 orang dan 52 pegawai sukan bagi 10 sukan OKU memainkan peranan penting untuk mempertahankan nama baik Sarawak sebagai Juara Sukan Para SUKMA iaitu sebanyak 13 kali berturut-turut sejak 1994 dan berazam menjuarai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) SOPMA buat kali pertama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, pasukan OKU akan mula berlatih untuk persediaan bagi pertandingan kebangsan iaitu Para SUKMA 2020 dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2020.
Kedua-dua kejohanan ini telah ditanggguh sehingga ke tahun hadapan.
“Para SUKMA 2020 telah dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 10 April 2021 dan SOPMA 2020 pada 11 hingga 17 Julai 2021,” katanya
Jelas beliau lagi, pada masa ini, terdapat seramai 164 atlet OKU menjalani latihan untuk pasukan negeri dalam 10 sukan untuk Para SUKMA 2020 dan empat sukan pada temasya SOPMA 2020.
Turut hadir Setiausaha tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Saadiah Abdul Samat, Presiden Persatuan Tenpin Bowling Para Negeri Sarawak Dunstan Lim, Naib Presiden Persatuan Tenpin Bowling Para Negeri Sarawak Robert Lu, Jurulatih Persatuan Tenpin Bowling Para Negeri Sarawak Myron Khoo dan Pengarah Megalanes Batu Kawa, Jackie Ting.
Oleh Cheryl Law