
KUCHING: Sarawak menegaskan bahawa negeri ini bukan meminta-minta, sebaliknya melaksanakan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kerangka perundangan negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menjelaskan bahawa MA63 adalah dokumen rasmi yang didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika penubuhan Malaysia.
“Perjanjian ini menjadi asas kepada hak-hak yang dipersetujui antara kerajaan persekutuan, kerajaan British ketika itu, dan kerajaan negeri Sarawak.
“Pelaksanaan hak Sarawak bukan sesuatu yang kontroversi kerana ia sudah termaktub jelas dalam perjanjian dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Premier turut merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 yang menggariskan bahawa mana-mana syarikat minyak perlu mendapatkan kebenaran dari negeri Sarawak untuk melakukan operasi di tanah Sarawak.
“Ini adalah sebahagian daripada hak negeri yang dijamin oleh undang-undang persekutuan dan perlembagaan.
“Di Sarawak, mereka mesti minta izin. Ini adalah undang-undang,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa MA63 bukan hanya sekadar dokumen politik, tetapi ia adalah perjanjian dan undang-undang yang mesti dihormati oleh semua pihak.
Premier juga menghargai sokongan Perdana Menteri yang menegaskan kestabilan politik dan komitmen terhadap hak-hak Sarawak, terutama dalam suasana ketidakpastian politik negara.
“Terima kasih atas sokongan itu demi kestabilan dan kepentingan semua rakyat,” ujarnya.
Oleh Norman B.