
LONDON: Kerajaan Sarawak terbuka untuk meneroka konsep ‘planetary boundaries’ atau sempadan planet dalam memastikan pembangunan negeri itu bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, melalui kerjasama dengan London School of Economics and Political Science (LSE), Sarawak berharap dapat menyesuaikan pendekatan berasaskan sains itu dalam tadbir urus negeri.
“Pendekatan ini akan memastikan pembangunan kita kekal dalam had alam sekitar yang selamat, sambil memacu inovasi, daya tahan dan kemakmuran untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan LSE di London hari ini waktu tempatan.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan MoU tersebut bukan sekadar satu perkongsian, tetapi merupakan sebuah kerangka yang menyatukan modal semula jadi dan modal insan Sarawak dengan kepakaran LSE.
“Gabungan kekuatan ini akan mewujudkan pengetahuan, dasar dan penyelesaian yang memberi kesan bukan sahaja di peringkat tempatan, malah juga global,” tambahnya.
Kerjasama berasaskan sains itu diyakini dapat membantu Sarawak merangka dasar, strategi dan penyelesaian yang menguntungkan rakyat negeri di samping menyumbang kepada usaha antarabangsa dalam menangani cabaran iklim dan kelestarian.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.
Hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Pemangku Pengarah, Institut Penyelidikan Grantham, LSE, Profesor Giles Atkinson, Professor of Enviromental Economics LSE, Susana Mourato dan Naib Presiden dan Pro-Naib Canselor (Pendidikan) LSE, Professor Emma McCoy. -UKAS