
SEOUL, Korea Selatan: Kerajaan Sarawak menawarkan peluang pendidikan kepada anak-anak Islam dari Kepulauan Pasifik dengan membolehkan mereka melanjutkan pengajian di sekolah Islam antarabangsa yang ditubuhkan di negeri ini.
Premier Sarawak yang juga Presiden Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menjelaskan bahawa inisiatif tersebut merupakan langkah Sarawak bagi menyokong negara anggota lain dalam memperkuatkan komuniti Islam di rantau mereka.
“Saya telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Eksekutif RISEAP bahawa Sarawak kini memiliki sekolah Islam antarabangsa. Kita akan membuka peluang kepada pelajar dari pulau-pulau Pasifik yang menghadapi kekurangan pendidikan untuk belajar di sekolah-sekolah kami.

“Langkah ini juga akan mengeratkan hubungan antara masyarakat Islam di kawasan RISEAP dengan negara-negara berkenaan,” katanya ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) dan TVS sebaik selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan serupa pernah dilaksanakan Malaysia dalam membantu masyarakat Islam di Bosnia, dan ia selari dengan konsep dakwah ‘Bil Hal’ yang menekankan pemerkasaan ummah sejagat.
“Sebab itu, walaupun keadaan sosioekonomi mereka masih rendah, kita melihat ia sebagai satu ibadah untuk memberi peluang kepada beberapa pelajar, sama ada dua, tiga atau sehingga sepuluh orang, menimba ilmu di sekolah Islam antarabangsa sebagai ‘residential scholar’, hingga ke peringkat tinggi.
“Akhirnya, mereka akan kembali ke negara asal untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara masing-masing,” tambah beliau
Terdahulu, Abang Johari memaklumkan RISEAP telah menerima beberapa laporan mengenai aktiviti yang dijalankan oleh negara-negara anggota.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kehormat RISEAP, Dato’ Mohamad Marzuki Mohamad Omar serta tetamu kenamaan yang lain.