KUCHING: Pertemuan dua hala antara Kerajaan Sarawak dan Brunei Darussalam bertujuan meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan aktiviti sosioekonomi yang bakal memanfaatkan kedua-dua pihak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara dibincangkan
berkaitan memudahcara pergerakan lintas sempadan di Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dan Lebuhraya Pesisir Utara (NCH).
Pembinaan projek LPB dan NCH dibahagikan kepada empat pakej melibatkan jalan sepanjang 86 kilometer di bawah agensi pelaksana iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Perunding Pengurusan Projek (PMC) ialah Maltimur Resources Sdn Bhd.
Selain itu, kesediaan Kerajaan Sarawak membantu mencapai 10 peratus sumber tenaga boleh diperbaharui kepada Brunei Darussalam.
Usaha tersebut dizahirkan menerusi kunjungan hormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekema Jaya Mohd Yusof di Brunei, pagi tadi.
Mesyuarat tersebut merupakan susulan dari pertemuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai delegasi Kerajaan Sarawak pada Februari lepas.
Delegasi disertai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Ngumbang.
Turut menyertai rombongan, wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), RECODA dan Sarawak Energy Berhad.