Sarawak-Brunei perkukuh hubungan ekonomi menerusi hab industri, logistik bersepadu

Facebook
WhatsApp
MENUJU GLOBAL... Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan kerjasama strategik Brunei-Sarawak pada Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Brunei 2026 di Dewan Muhibbah, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, semalam.

BANDAR SERI BEGAWAN: Kerjasama strategik antara Sarawak dan Brunei Darussalam menerusi pembangunan ekosistem industri, logistik dan pelaburan bersepadu dijangka membuka laluan baharu kepada peningkatan perdagangan rentas sempadan serta menarik lebih banyak peluang pelaburan serantau.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama antara Imasa Dinasti Sdn. Bhd. dan Muara Port Company Sdn. Bhd. itu akan menghubungkan Pelabuhan Muara di Brunei Darussalam dengan Bandar Pintar Kenyalang (KSC) di Miri, Sarawak, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan ekonomi antara kedua-dua wilayah.

Menurutnya, jaringan strategik berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan logistik dan rantaian bekalan, malah menyokong pembangunan industri pintar, perdagangan digital serta pertumbuhan ekonomi mampan selaras dengan agenda pembangunan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Kerjasama strategik antara Imasa Dinasti Sdn. Bhd. dan Muara Port Company Sdn. Bhd. bagi membangunkan ekosistem perindustrian, logistik dan pelaburan bersepadu yang menghubungkan Pelabuhan Muara di Brunei Darussalam dengan Bandar Pintar Kenyalang di Miri, Sarawak.

“Usaha ini akan meningkatkan kesalinghubungan, menggalakkan pelaburan serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan selaras dengan agenda pembangunan BIMP-EAGA dan ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Brunei 2026 di Dewan Muhibbah, semalam.

Beliau berkata, pembangunan jaringan ekonomi antara Sarawak dan Brunei Darussalam sejajar dengan usaha memperkukuh hubungan serantau menerusi kerjasama rentas sempadan yang memberi manfaat kepada sektor industri dan perdagangan.

Terdahulu, Imasa Dinasti Sdn. Bhd. dan Muara Port Company Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan logistik rentas sempadan, rantaian bekalan, pelaburan serta promosi perdagangan antara Sarawak dan Brunei Darussalam.

Kerjasama itu turut menyokong pembangunan Kenyalang Smart City (KSC) sebagai hab serantau bagi industri pintar, logistik maju dan perdagangan digital, selain memanfaatkan kedudukan strategik Pelabuhan Muara sebagai pintu masuk antarabangsa Brunei Darussalam.

MoU berkenaan ditandatangani sempena Majlis Makan Malam Jaringan Sarawak-Brunei bersama Persatuan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Sarawak (BESA) oleh Pengerusi Imasa Dinasti Sdn. Bhd., Ar. Teo Ah Khing dan Ketua Pegawai Operasi Muara Port Company Sdn. Bhd., Fazilah Yassin.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei Darussalam Awang Muhammad Harris Dato Paduka Ibrahim serta Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datu Lester Matthew.

Oleh Adeng Edrus