
PETRA JAYA: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Brazil ke Malaysia, Daniella Ortega Menezes di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, di sini.
Menurut kenyataan daripada Kementerian Pengangkutan, kunjungan tersebut merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Sarawak sejak dilantik sebagai Duta Besar Brazil ke Malaysia pada 1 Ogos 2025.
Katanya, dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama antara Brazil dan Sarawak, khususnya dalam sektor penerbangan dan pengangkutan.
Daniella memuji inisiatif kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan milik negeri, Air Borneo, yang disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh rangkaian udara dan memajukan sektor pengangkutan di negeri ini.
Beliau turut berkongsi bahawa Embraer, pengeluar pesawat terkemuka dari Brazil, mempunyai model pesawat yang sesuai untuk operasi penerbangan domestik dan serantau seperti di Sarawak.
Dato Sri Lee dan Duta Besar Brazil turut sependapat bahawa Brazil dan Sarawak berkongsi persamaan dari segi geografi dan iklim, termasuk cabaran kawasan pedalaman yang sukar diakses melalui jalan darat. Justeru, kedua-duanya bersetuju bahawa perhubungan udara memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti serta menyokong pembangunan wilayah secara menyeluruh.
Dalam pertemuan tersebut, Dato Sri Lee turut menyampaikan penghargaan atas kunjungan hormat itu serta perkongsian pandangan berharga mengenai industri penerbangan dan inisiatif kelestarian yang dilaksanakan di Brazil.
Pertemuan berkenaan diakhiri dengan perbincangan mesra mengenai perkembangan sektor pengangkutan dan penerbangan, di mana kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneruskan komunikasi dan meneroka peluang kerjasama antara Sarawak dan Brazil pada masa akan datang.
Turut hadir Konsul Kehormat Brazil di Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Datu Wong Hee Sieng serta Ketua Bahagian Penerbangan Kementerian, Zulkarnain Rosli.