TOKYO: Kerajaan Sarawak kini sedang meneroka peluang kerjasama baharu dengan syarikat penerbangan terkemuka Boeing, Jepun dalam sektor penerbangan serta penyelidikan dan pembangunan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ke arah itu adalah selari dengan usaha kerajaan Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Menurutnya, Sarawak juga giat menumpukan perhatian kepada pembangunan pengeluaran SAF sebagai bahan api alternatif bagi industri penerbangan menerusi penyelidikan bersama Chitose Group selain kerjasama dengan ENEOS Corporation (ENEOS) dalam pengeluaran hidrogen.
“Tadi kita ada perbincangan dengan syarikat Boeing di Jepun yang ada beberapa cadangan kerana mereka adalah pusat untuk melihat perkembangan penerbangan yang menggunakan kapal terbang Boeing.
“Mereka ada kerjasama dengan Boeing di Singapura dan juga jaringan Boeing di Asia Tenggara, jadi hari ini kita hanya melihat apakah peluang yang ada untuk kita bekerjasama di antara Boeing dengan Sarawak dalam kita hendak mempunyai syarikat penerbangan kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS dan TVS selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Boeing Jepun, Eric G.John di ibu pejabat syarikat berkenaan di sini, hari ini.
Bagaimanapun Premier Sarawak menambah, jaringan kerjasama baharu dalam pembangunan dan penyelidikan berkaitan masih di peringkat awal.
“Kita akan meneroka bersama apa yang kita (Sarawak & Boeing) boleh lakukan khususnya dalam SAF dan tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya lagi.
Mengiringi beliau dalam perbincangan tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Turut hadir, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak. – EDISI UKAS