KUALA LAWAS: Kerajaan Sarawak akan terus membina jaringan pejabat luar negara untuk memastikan produk pertanian, ternakan, perikanan dan hasil tangan dapat dipasar ke peringkat global.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, setakat ini Kerajaan Sarawak mempunyai pejabat perdagangan di Singapura yang mengimport ikan patin dari Tasik Batang Ai, Belaga dan juga sayur lemidin (midin).
Selain di Singapura, sebuah lagi pusat serupa iaitu Sarawak Pavillion dibuka di tengah pusat perniagaan di Kuala Lumpur yang turut mengumpul produk keluaran Sarawak bagi pasaran di Semenanjung Malaysia.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata demikian pada Majlis Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) dan Majlis Penyerahan Enjin Motor Sangkut Daerah Lawas di Dewan Masyarakat Kampung Noor Islam Kuala Lawas semalam.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip, Setiausaha Eksekutif Parti Parti pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Awang Bujang Awang Antek, Pegawai Pertanian Pembangunan Bahagian Limbang Jakaria Rambli dan Pegawai Pertanian Daerah Lawas, Doroup Mail.
Pada masa sama, Awang Tengah juga mengesahkan bahawa sebuah membuka pejabat perdagangan ini di Brunei dan Pontianak, Indonesia.
Oleh itu, adalah penting untuk warga tani, penternak dan nelayan di Sarawak mendalami dan mengaplikasikan teknik pertanian moden untuk meningkatkan produktiviti dan menjamin kualiti.
Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan berbagai kemudahan dalam bentuk pinjaman kewangan, geran kewangan, peralatan, teknologi dan pengetahuan.
Jelasnya, paling utama ialah penglibatan serius golongan ini dalam merealisasikan wawasan Sarawak sebagai hub pengeluaran makanan negara dan rantau ini.
Usaha ini bukan sahaja akan menguntungkan rakyat dari segi pertambahan pendapatan, tetapi mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi Sarawak keseluruhannya.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah juga menasihatkan rakyat agar belajar daripada pengalaman pahit di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat selama 22 bulan lalu.
Segala yang mereka janjikan hanya manis dikata kerana hakikatnya banyak pemotongan untuk program bantuan rakyat, projek pembangunan di Sarawak, bantuan kebajikan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan nelayan dan petani.
Kini, PH muncul balik menjelang pilihan raya negeri Sarawak dengan berbagai janji manis yang akhirnya akan menjerat rakyat kepada keadaan lebih sukar.
Anwar Ibrahim tidak akan berhenti berpolitik sama seperti rakan sekutunya dan mereka yang menubuhkan parti baru di Sarawak untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas kerana ingin berkuasa.
Hakikatnya, mereka ini pernah memegang kuasa dan berjawatan penting, tetapi tidak pernah melaksanakan apa yang dilaungkan setelah meninggalkan kerajaan GPS mahupun Perikatan Nasional (PN.)