BETONG: Ekonomi Sarawak diunjurkan terus berkembang menerusi pengeluaran tenaga lebih 10,000 megawatt (MW) menerusi empangan hidro elektriknya menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keyakinan itu mampu direalisasikan menerusi dasar ekonomi baharu yang dilaksanakan.
“Dikembangkan boleh, dari sudut negeri Sarawak kita kembangkan ekonomi kita dengan mengeluarkan tenaga.
“Saya fikir pada 2030 kita sasarkan pengeluaran tenaga elektrik sebanyak 10,000 (MW), kita hanya guna sekitar 6 gigawat (6,000 MW) jadi yang lain kita jual.
“Jadi kita kembangkan, saya jangkakan 2035 kita mengeluarkan 15 gigawat (15,000 MW),” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Ke-100 Tahun Rumah Panjang Nanga Samu, Ulu Paku di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari juga menyeru anak-anak Sarawak terutamanya warga Betong untuk mahir dalam teknologi baharu.
Katanya, ia bertujuan meningkatkan taraf pendidikan sekali gus mengubah taraf hidup masyarakat untuk keluar daripada isu kemiskinan.
“Sekiranya kita ada teknologi, kita dapat mengangkat pendapatan keluarga.
“Setidaknya kita boleh keluar dari kepompong kemiskinan melalui pendidikan.
“Kita juga menekankan pendidikan, ini akan melonjakkan ekonomi kita apabila ekosistem kita sudah ada,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas; bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Tan Sri Empiang Jabu. – Edisi UKAS