
SIMANGGANG: Sarawak kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang 2030 menerusi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan modal insan.
Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh berkata, pelaksanaan Karnival TVET Sarawak 2025 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan tenaga mahir yang mampu memenuhi permintaan industri masa depan.
Menurutnya, karnival tiga hari yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman itu hadir sebagai kesinambungan kepada kejayaan program terdahulu seperti SCaT Fair dan ProDR, sekali gus memperkukuh TVET sebagai aliran pendidikan utama generasi baharu.
“Ini adalah platform strategik berimpak tinggi untuk mengukuhkan serta memartabatkan TVET sebagai laluan pendidikan masa depan.
“Lebih 50 agensi kerajaan dan swasta terlibat, meliputi sektor kewangan, minyak dan gas, pembuatan dan pelbagai bidang lain,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian karnival tersebut, baru-baru ini.

Beliau menggesa para belia Sarawak agar merebut peluang yang disediakan melalui ekspo kerjaya, pameran teknologi, pertandingan TVET, seminar dan bengkel kemahiran yang menjadi pengisian utama program berkenaan.
“Pendidikan teknikal adalah langkah awal untuk mendapatkan peluang awal (get a foot in the door) dalam membina kerjaya berkualiti.
“Dalam pasaran kerja yang dinamik, kita mesti sentiasa berada selangkah di hadapan (stay ahead of the game) dengan menguasai teknologi dan inovasi terkini,” jelasnya.
Len yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar menegaskan bahawa TVET merupakan nadi penting pembangunan belia dari peringkat akar umbi, sekali gus menjadi pemangkin lonjakan ekonomi negeri.
Beliau berkata usaha ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang meletakkan TVET sebagai pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk sektor strategik seperti pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan karbon.
“Secara keseluruhannya, TVET sangat signifikan dalam memenuhi keperluan teknologi terkini dan memacu ekonomi negeri berteraskan kelestarian.
“Sarawak kini berada pada tahap bersedia untuk menuju status negeri berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang 2030,” katanya.


Menurut beliau, kerajaan negeri kini mengangkat TVET daripada tanggapan sebagai “pilihan terpaksa” kepada laluan kerjaya utama yang progresif, berdaya saing dan menawarkan pendapatan lumayan untuk generasi muda.
“Melalui pemerkasaan TVET, Sarawak berupaya membina ekosistem tenaga mahir tempatan yang berkualiti dan mampu mencapai aspirasi PCDS 2030. Kita tidak mahu ada anak Sarawak yang terlepas peluang membina masa depan sendiri,” katanya.
Karnival itu turut disifatkan sebagai platform penting dalam membentuk paradigm shift pembangunan modal insan, menjadikan Sarawak semakin bersedia memenuhi keperluan tenaga kerja global.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Fredick Kevin Buseli dan jemputan lain.
Oleh Adi Safarman