
KUCHING: Sarawak kini menjadi tumpuan warga Jepun yang berminat untuk menjadikan negeri ini sebagai tempat tinggal jangka panjang menerusi program Sarawak–Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H).
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, peningkatan ketara pelancong dari Jepun sejak kebelakangan ini turut disusuli dengan minat untuk menetap, terutamanya dalam kalangan warga emas yang mengutamakan suasana selamat dan kemudahan kesihatan yang baik.
“Ramai yang melihat Sarawak sebagai destinasi yang tenang dan selamat. Sistem kesihatan kita pun diiktiraf baik, itu antara faktor utama yang menarik minat mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Leo Forum 2025 di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa setakat ini belum ada rancangan khusus untuk memperkenalkan skim pemastautin tetap seperti yang ditawarkan oleh beberapa negara jiran.
“Kita belum berbincang perkara itu secara terperinci, tetapi program S-MM2H sedia ada masih terbuka dan terus mendapat sambutan yang kukuh, khususnya dari China,” jelasnya.
Abdul Karim turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini giat mengukuhkan rangkaian promosi luar negara dengan pembukaan beberapa pejabat Perdagangan dan Pelancongan.
“Selain di Singapura dan Brunei, kita sedang rancang untuk buka satu pejabat lagi di Pontianak, Kalimantan Barat. Saya difahamkan ada juga cadangan untuk Abu Dhabi. Kalau ada keperluan buka di tempat lain, kita akan teliti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa beberapa keluarga dari Korea Selatan telah menghantar anak mereka ke sekolah aliran Inggeris di Sarawak, antaranya Tunku Putra, sambil ibu bapa memohon program yang sama untuk tinggal di negeri ini.
Menurut rekod, hampir 600 permohonan telah diluluskan di bawah program S-MM2H sepanjang 2024 dan jumlah itu dijangka kekal stabil tahun ini.
Oleh Amanda L.