
PETRA JAYA: Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi hab penjagaan kesihatan di rantau ini berikutan peningkatan jumlah pelancong perubatan ke negeri ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata sektor swasta kini sedang membangunkan beberapa hospital baharu di Sarawak bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, termasuk pesakit dari Indonesia.
“Pelancongan kita pada 2024 mencatatkan rekod tertinggi dengan 4.8 juta pelancong dan menghasilkan pendapatan sebanyak RM12 bilion. Tahun 2025, kita sasarkan lima juta pelancong kerana ada AirBorneo.
“Jika lebih ramai orang Indonesia datang untuk mendapatkan rawatan di sini, kita juga boleh memperluaskan pasaran ke luar negara,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung ke-16 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Beliau berkata, hospital baharu swasta yang sedang dibangunkan termasuk sebuah hospital dengan 300 katil di Batu Lintang oleh IHH Healthcare Berhad serta hospital baharu di Tabuan Jaya dan Petra Jaya (milik kerajaan).
“Ini menunjukkan bahawa Sarawak semakin diiktiraf sebagai pusat rawatan kesihatan. Kos rawatan kita juga lebih rendah berbanding Singapura, menjadikan Sarawak pilihan utama bagi pesakit luar negara,” jelasnya.
Abang Johari menambah bahawa sektor kesihatan bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit tetapi juga merancakkan ekonomi negeri melalui peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan hospitaliti dan perhotelan.
“Apabila seorang pesakit datang, dia tidak datang seorang tetapi bersama keluarga. Ini bermakna lebih banyak bilik hotel ditempah, lebih banyak makanan dibeli, dan ekonomi kita semakin berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kepentingan pembangunan sektor pertanian bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak, termasuk eksport makanan segar ke Singapura melalui AirBorneo.
“Permintaan terhadap ikan tilapia dari Batang Ai meningkat kerana kualitinya lebih baik berbanding ikan yang diternak di kolam. Ini adalah peluang besar untuk kita meningkatkan hasil eksport dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Oleh SHAH IZZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL